BINTULU: Kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo melibatkan jajaran Sibu digesa untuk mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, ini termasuklah mengutamakan keselamatan pengguna dan komuniti setempat yang turut terkesan dengan pembinaan tersebut.
“Sekiranya terdapat kelemahan atau kekurangan pada sesuatu projek yang dilaksanakan, kontraktor terlibat tidak seharusnya memberi pelbagai alasan, sebaliknya mereka mesti mematuhi spesifikasi kontrak yang telah dipersetujui dengan agensi kerajaan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian, semasa bermesyuarat dengan pihak Jabatan Kerja Raya(JKR) dan wakil syarikat Hock Seng Lee Berhad dan Musyati Sdn.Bhd. bertempat di Pejabat JKR Wilayah Tengah, semalam.
Menurutnya, Kontraktor yang telah mengambil kontrak mesti tahu tanggungjawab mereka dan pelaksanaan sesuatu projek mesti mengikut standard kelas pertama.
“Kita tidak boleh bertoleransi dengan apa juga alasan pihak kontraktor yang telah dianugerahkan kontrak” “Kontraktor yang telah mengambil kontrak mesti tahu tanggungjawab mereka dan pelaksanaan sesuatu projek mesti mengikut standard kelas pertama meskipun saya nampak ada kontraktor yang tidak memenuhi tahap tersebut,” katanya.
Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China memaklumkan bahawa beliau banyak menerima aduan daripada orang awam, terutama pengguna jalan raya berhubung perkara itu.
“Antara aduan yang diterima, Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak ‘hancur’ dan keselamatan pengguna jalan raya tidak terjamin termasuk banyak bahagian jalan raya yang sedang dalam proses pembinaan tidak mempunyai tanda amaran atau notis selain tidak mematuhi syarat dan garis panduan keselamatan projek,” ujarnya.
Tiong turut berkata bahawa beberapa pembahagi (culvert) jalan raya bukan sahaja tidak mempunyai liputan lengkap, tetapi ia juga ditinggalkan di kedua-dua bahu jalan sesuka hati.
Katanya, perkara tersebut tidak mematuhi garis panduan keselamatan kejuruteraan, dan bahagian kejuruteraan sokongan yang berbeza tidak berada dalam tarikh akhir yang asal.
Beliau mengingatkan kontraktor terlibat menjalankan kerja dengan penuh tanggungjawab dengan memberikan perhatian khusus terhadap kualiti projek berkenaan sekaligus menyiapkannya berdasarkan tempoh yang diberikan.
Dalam pertemuan itu juga pihak kontraktor terlibat turut diberikan masa dua minggu oleh pihak JKR untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Namun, Tiong mahu pihak terlibat menyegerakan tindakan tersebut ekoran ia berhubung kait dengan keselamatan pengguna jalan raya.
“Apabila masalah dikenalpasti, maka ia harus dibincangkan dengan pihak JKR bagi mencari jalan penyelesaian dan bukannya dibiarkan begitu saja dengan memberikan pelbagai alasan,” katanya.
Dalam pada itu beliau meminta pihak JKR untuk mengambil tindakan terhadap syarikat yang gagal mematuhi piawaian Dan menyenaraihitamkan syarikat, kontraktor dan pengarah, termasuk pemegang saham.
‘Apa yang saya utamakan mereka perlu mengatasi kelemahan dan kekurangan yang dihadapi untuk melaksanakan projek dengan baik dan lancar,” katanya.