
KUCHING: Dua lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 32 tahun ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di Kampung Stenggang, Bau sekitar 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, semasa operasi dijalankan, salah seorang suspek didapati memiliki sejumlah kecil syabu (methamphetamine) yang disimpan di dalam beg pinggang yang dipakainya.
“Suspek yang memiliki dadah tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kedua-dua suspek turut disahkan positif dadah hasil ujian saringan air kencing awal dan sedang disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.
Superintenden Mohd Haide menegaskan bahawa pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan atau pengedaran dadah.
Beliau turut menggesa orang ramai agar membantu pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Talian Hotline Narkotik Bukit Aman di 012-208 7222 atau Talian Hotline Narkotik Sarawak di 017-592 9211.