Gema Bumantara: Gendang sudah dipalu, irama Malaysia jangan kembali lesu

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 24 Oktober: Irama Malaysia tidak pernah mati. Gemanya yang seakan-akan samar dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, barangkali hanya menanti ruang untuk kembali berkumandang.

Dan, perkembangan sejak 2015 ini seolah-olah membuka lembaran baharu buat genre yang pernah menjadi antara kebanggaan industri muzik tanah air ini. Daripada kemunculan karya baharu kepada penganjuran Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lepas, perkembangan itu memperlihatkan irama Malaysia masih memiliki kekuatan tersendiri untuk memikat khalayak.

Selepas menyaksikan sendiri bagaimana lebih 63,000 penonton bertahan dalam hujan untuk menikmati persembahan konsert tradisional berskala mega itu hingga penghujungnya, sukar untuk dinafikan hakikat muzik berteraskan warisan bangsa masih mempunyai tempat istimewa dalam jiwa masyarakat.

Dengan kehebatan konsert itu masih segar berbekas, pada hemat penulis, momentum bersejarah tersebut perlu menjadi pemangkin kepada gelombang baharu atau evolusi untuk mengangkat kembali genre berkenaan ke persada muzik arus perdana, dan bukan sekadar satu lagi kejayaan yang bergantung pada kekuatan jenama Siti Nurhaliza semata-mata.

Detik paling bermakna dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara itu, antaranya tentulah kemunculan ratu irama Malaysia Noraniza Idris, berkongsi pentas dengan Siti Nurhaliza menerusi lagu Hati Kama dan Dondang Dendang.

Gandingan dua legenda seni suara yang cukup sinonim dengan muzik tradisional itu bukan sekadar mengembalikan nostalgia, tetapi mengingatkan penonton akan zaman kegemilangan irama Malaysia sekitar era 1990-an dan awal 2000-an menerusi lagu seperti Cindai, Balqis, Hati Kama dan Dikir Puteri yang berjaya mengangkat elemen tradisional sebagai sebahagian daripada muzik popular tanah air.

Kejayaan dan kegemilangan genre itu tidak dapat dipisahkan daripada sentuhan magis Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, yang berjaya mengangkat serta mengolah melodi dan instrumen tradisional menjadi karya komersial tanpa mengorbankan keaslian budaya yang menjadi tunjangnya.

Namun, legasi sebesar itu tidak seharusnya sekadar dikenang melalui persembahan semula lagu malar segar, tetapi wajar menjadi inspirasi untuk melahirkan lebih ramai komposer dan pengkarya yang berani mencipta identiti baharu, sebagaimana yang pernah dilakukan Allahyarham pada zamannya.

Sebenarnya, usaha menyuntik nafas baharu kepada irama Malaysia sudah memperlihatkan perkembangan positif termasuk menerusi penerbitan album Gema Bumantara oleh Siti Nurhaliza pada 2025,  dan mengetengahkan karya seperti Rencong dan Kesuma yang turut didendangkan pada konsert itu.

 Penerbitan album berkenaan membuktikan komitmen Biduanita Negara itu bukan sekadar mengangkat kembali genre berkenaan, tetapi memastikan irama Malaysia terus hidup, berkembang dan kekal relevan dalam landskap muzik semasa.

Perkembangan itu diteruskan dengan kemunculan beberapa karya irama Malaysia dan pop tradisional oleh penyanyi serta pengkarya lain yang tampil dengan pendekatan lebih segar, sekali gus memberikan gambaran bahawa warisan muzik tempatan masih menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu.

Antaranya, lagu Palu nyanyian Haziq Rosebi yang mengetengahkan lirik kaya dengan unsur pantun, peribahasa serta bahasa kiasan tradisional, selain Noraniza yang kembali dengan buah tangan baharu berteraskan elemen zapin menerusi Salam Kaut.

Turut mencuri perhatian, Wany Hasrita menerusi Lembayung Tari yang menggabungkan elemen pop etnik dengan nuansa klasik Melayu dan susunan muzik kontemporari, begitu juga Shiha Zikir menerusi Mohon Ampun.

Baru-baru ini pula, penyanyi muda Wani Kayrie berjaya menembusi pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) menerusi Cak Cak Cekuk, menyerlahkan potensi karya berunsur tradisional untuk terus bertahan dalam gelanggang muzik popular.

Tidak ketinggalan, penyanyi dan komposer muda Aisha Retno yang meneroka elemen muzik tradisional menerusi penciptaan Kesuma untuk Siti Nurhaliza, selain Mimi Fly yang mempertemukan elemen budaya tempatan dengan muzik elektronik dan alternatif melalui Nara dan Temberang.

Sentuhan baharu terhadap muzik tradisional turut mencetuskan fenomena menerusi lagu Aidilfitri Serumpun oleh Mimi Fly pada 2025 dan Jodoh Lebaran oleh Aisha Retno tahun ini, yang mengadunkan elemen tradisional dengan susunan kontemporari sehingga berjaya memikat generasi muda serta meraih perhatian di platform digital.

Walaupun tidak semua karya itu boleh dikategorikan sepenuhnya sebagai irama Malaysia dalam pengertian tradisional, pendekatan berkenaan memperlihatkan perkembangan yang wajar diberikan perhatian dan penghargaan, khususnya keberanian generasi baharu mengolah warisan muzik mengikut cita rasa serta kreativiti semasa.

Pada pandangan penulis, di sinilah antara kunci masa depan irama Malaysia, bahawa genre itu tidak semestinya perlu terus terikat dengan formula yang pernah membawa kejayaan pada era terdahulu, sebaliknya perlu diberikan ruang untuk berevolusi tanpa kehilangan akar identitinya.

Hakikatnya, kelangsungan irama Malaysia perlu mengambil kira perubahan cita rasa pendengar, khususnya generasi muda, yang menuntut keberanian untuk meneroka gabungan rentak dan instrumen tradisional dengan muzik elektronik, alternatif dan genre kontemporari lain.

Bagaimanapun, penerokaan itu perlu disertai pemahaman mendalam terhadap asas budaya dan muzik yang menjadi sumber ilham, agar unsur tradisional tidak sekadar  bersifat kosmetik untuk memenuhi trend semasa.

Sebagai peminat muzik yang membesar dengan alunan irama Malaysia pada era itu, perkembangan mutakhir ini bukan sahaja menghidupkan nostalgia penulis, tetapi turut mencetuskan harapan agar generasi hari ini juga berpeluang menikmati kegemilangan genre berkenaan dalam wajah dan pendekatan yang baharu.

Dalam hal ini, muzik fusion boleh menjadi jambatan memperkenalkan kekayaan warisan kepada pendengar baharu melalui pendekatan lebih eksperimental, tanpa mengetepikan pemeliharaan keaslian irama Malaysia dalam bentuk tradisional.

Yang penting, inovasi tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada tradisi, sebagaimana pemeliharaan warisan juga tidak wajar dilihat menjadi penghalang kreativiti.

Sudah tiba masanya genre ini tidak lagi dilihat sekadar sebagai pengisi slot persembahan kebudayaan, acara rasmi kerajaan atau sambutan perayaan tertentu, sebaliknya perlu kembali mendapat tempat dalam siaran radio, carta lagu popular dan senarai main platform penstriman digital.

Siti Nurhaliza sendiri pernah mencadangkan supaya lagu irama Malaysia diberikan ruang siaran lebih luas menerusi skim wajib siar atau kuota tertentu di stesen radio, dan ia wajar dipertimbangkan bagi meningkatkan pendedahan, minat serta penerimaan pendengar, khususnya terhadap karya baharu yang sukar menembusi pasaran arus perdana.

 Sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha biduanita itu dalam memperkaya warisan seni melalui Konsert Tradisional Gema Bumantara juga memberikan isyarat positif bahawa muzik tradisional masih mempunyai kepentingan dalam pembangunan budaya negara, dan khazanah itu perlu sentiasa dipelihara.

“Kemajuan negara perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara akar budaya dan jati diri bangsa agar warisan seni tidak hilang ditelan zaman,” kata Anwar yang turut hadir menyaksikan konsert selama tiga jam pada Sabtu lepas.

Pada masa sama, tanggungjawab itu tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya pada bahu kerajaan atau pemain industri. Masyarakat juga mempunyai peranan untuk memastikan irama Malaysia terus hidup dengan memberikan sokongan kepada karya baharu, bukan hanya mengulang dengar lagu malar segar yang pernah memasyhurkan genre berkenaan.

Apa yang berlaku di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober akan sentiasa dikenang sebagai antara detik penting dalam perjalanan muzik tradisional tanah air dan momentum yang terbentuk itu seharusnya disambut, bukan sekadar dipandang dibiarkan berlalu.

Biarlah konsert itu menjadi titik mula untuk irama Malaysia kembali mewarnai corong radio, menghiasi carta lagu popular dan menguasai pentas hiburan, bukan sekadar berkumandang ketika warisan bangsa mahu diraikan.

Yang perlu dikejutkan daripada lena bukanlah irama Malaysia, tetapi industri dan masyarakat yang barangkali sudah terlalu lama terleka akan keindahan serta potensinya.- Bernama