SIBU: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penjaja Kecil dan Pasar Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Augustine Merikan membidas dakwaan dalam media sosial yang mendakwa MPS bersikap tidak adil terhadap penjaja Dayak di Pasar Tamu Indah.
Menurutnya, dakwaan dalam media sosial itu bukan gambaran yang sebenar dan menyifatkan mereka yang mengeluarkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
“Dakwaan yang mengatakan Pasar Tamu Taman Indah telah dimonopoli oleh satu kaum sahaja adalah tidak benar.
“Semua kaum tanpa mengira bangsa dan agama boleh berniaga di situ selagi mereka mempunyai lesen daripada pihak majlis,” jelasnya.
Beliau memberitahu, apabila pasar tamu tersebut dipindahkan dari Jalan Mahsuri ke Jalan Indah pada 1 Ogos lepas, ramai bimbang ia tidak akan dikunjungi orang ramai.
“Kita telah menerima pelbagai pertanyaan mengapa pihak majlis mahu memindahkan pasar tamu ini ke tempat baharu.
“Namun kita tidak menyangka hampir 2,000 orang datang berkunjung ke Pasar Tamu Indah ini setiap hujung minggu,” ujarnya.
Katanya, bermula dengan hanya 114 penjaja, jumlah penjaja di Pasar Tamu Indah meningkat kepada 135 penjaja dengan majoriti penjaja adalah kaum Cina.
“Beberapa penjaja Dayak turut berniaga di situ dan memandangkan masih ramai yang belum mendapat permit atau lesen, mereka terpaksa berniaga di kawasan berumput di tepi jalan,” ujarnya lagi.
Augustine berkata, mereka hanya akan dibenarkan berniaga di kawasan bersimen selepas memperolehi lesen yang dipohon daripada MPS.
“Kita berharap agar mereka bersabar dan memahami keadaan ini. MPS mahu berlaku adil kepada semua pihak,” kata beliau.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPS, Bujang Zainudin Abdul Majid dan Pengerusi Jawatankuasa Penjaja Kecil dan Pasar MPS, Albert Tiang.
Oleh Akun Giman