KAPIT: Politik pembangunan yang diamalkan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjadi pemangkin pembangunan di Bahagian Kapit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat berkata, ia mengubah lanskap pembangunan di bahagian tersebut menerusi penubuhan Upper Rajang Development Agency (URDA), selain perlaksanaan pelbagai bentuk projek infrastruktur.
Menurutnya, penubuhan URDA adalah sebagai usaha untuk mempercepatkan pembangunan di kawasan luar bandar.
“Ia memberikan penekanan terhadap pembangunan infrastruktur termasuk bekalan elektrik, air dan jalan raya.
“Ini terutamanya di kawasan penempatan yang terpencil dan seterusnya memberikan manfaat kepada penduduk di kawasan terbabit,” jelasnya
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Jandah Mengga, Nanga Nansang, Sungai Ibau, Batang Rajang.
Jamit turut memberitahu, Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-12 kini semakin hampir dan ia boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Justeru itu, saya mengajak anda semua terus bersatu-padu dan berdiri teguh di bawah politik pembangunan GPS,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Jamit telah menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM116,000 kepada 12 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sepanjang Sungai Ibau.
Turut hadir ialah wakil Residen Bahagian Kapit, Galong Luang, Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut serta yang lain.