

LAWATAN projek RTP DUN Krian yang diadakan di Tadika Cina Publik Saratok dan Rumah Dayak Saratok, hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Krian
SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik melalui Pusat Khidmatnya hari ini melaksanakan lawatan tapak bagi memantau pelaksanaan serta memastikan kelancaran projek-projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Saratok.
Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada dua lokasi utama iaitu Tadika Cina Publik Saratok dan Rumah Dayak Saratok, masing-masingnya melibatkan projek pembaikan infrastruktur pendidikan serta menaik taraf kemudahan masyarakat setempat.
Di Tadika Cina Publik Saratok, satu lawatan projek baik pulih bangunan bernilai RM50,000 yang telah berjaya disiapkan sepenuhnya di bawah peruntukan RTP 2025.
Menurut Friday, projek berkenaan memberi manfaat besar kepada para pelajar dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat.
“Projek baik pulih tadika ini amat penting kerana ia menyentuh secara langsung persekitaran pembelajaran anak-anak kita. Saya gembira melihat ia telah siap dan kini pelajar dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa,” katanya.


LAWATAN projek RTP DUN Krian yang diadakan di Tadika Cina Publik Saratok dan Rumah Dayak Saratok, hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Krian
Friday turut menekankan bahawa tadika tersebut bukan sahaja menampung pelajar kaum Cina, malah turut disertai oleh anak-anak daripada pelbagai kaum lain, melambangkan semangat perpaduan dalam pendidikan di kawasan itu.
Lawatan tersebut turut disertai wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, Priscilla Carnelius, Pengerusi Tadika, Pemanca Lim Guan Ann serta wakil kontraktor yang melaksanakan projek.
Selain itu, majlis serah tapak bagi projek membaik pulih dan menaik taraf Rumah Dayak Saratok turut diadakan pada hari yang sama.
Projek bernilai RM300,000 itu bertujuan memberi nafas baharu kepada bangunan yang telah beroperasi sejak 1983 agar terus berfungsi sebagai pusat komuniti utama masyarakat setempat di daerah tersebut.
“Peruntukan ini akan memastikan struktur dan kemudahan sedia ada seperti gelanggang badminton, bilik mesyuarat, dewan dan gerai makan dapat ditambah baik agar Rumah Dayak kekal relevan serta menjadi tumpuan aktiviti kemasyarakatan,” ujar Friday.
Inisiatif di bawah RTP ini, katanya lagi, disifatkan sebagai komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kualiti infrastruktur dan kemudahan awam demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat luar bandar.
Oleh Adi Safarman