KUCHING: Penganjuran Program Bicara Ilmu ‘Jana Pendapatan Dengan Aplikasi Smartphone’ di Kampung Bako Hulu di sini amat bertepatan.
Hal ini kerana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut mempunyai banyak tempat menarik yang boleh diketengahkan khususnya dalam meningkatkan ekonomi sektor pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata, salah satu tempat pelancongan yang sangat terkenal di dunia ialah Taman Negara Bako yang terkenal dengan keindahan hidupan flora dan fauna yang boleh dipromosikan sebagai tempat tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara.
“Kami di Bako mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh dipasarkan menerusi telefon pintar iaitu Taman Negara Bako, Pulau Lakir, Sungai Bako yang mempunyai hidupan liar seperti buaya yang dijadikan tarikan pelancongan.
“Begitu juga dengan kampung nelayan seperti Kampung Bako yang berusia 150 tahun dengan jumlah rumah lebih seribu buah dan penduduknya lebih 6,000 orang.
“Asal Demak Laut hanya dengan dua buah kampung iaitu Kampung Muara Tebas dan Kampung Jernang yang kini hanya tinggal lama selepas mengalami pembangunan pesat,” katanya semasa berucap pada Program Bicara Ilmu ‘Jana Pendapatan Dengan Aplikasi Smartphone’ di Kampung Bako Hulu, di sini baru-baru ini.
Terdahulu, Dr Hazland bersama dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar dan beberapa ketua jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melawat Tapak Pemprosesan Belacan di Kampung Bako Hulu.
Oleh Nur Ain Otsman