LONG LAMA : Sejumlah RM1.2 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf dewan dan padang sekolah SMK Tinjar yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi Datu Dr Penguang Manggil berkata banyak lagi pembangunan akan dilaksanakan terutama yang terletak di kawasan pedalaman.
Katanya kerajaan akan terus membangunkan kawasan di pedalaman Baram bagi melengkapkan pembangunan infrastruktur asas melalui projek-projek rakyat.
“Apa yang penting rakyat perlu memberi keyakinan dan sokongan kepada kerajaan supaya projek-projek rakyat dapat diteruskan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutupan rasmi program “Merdeka health Walk 2020” semalam.
“Merdeka Helath Walk 2020” tersebut yang disertai hampir 200 orang bermula dari jambatan Pehin Sri Adenan Satem Long Lama ke jambatan Lapok pada jam 4.00 pagi anjuran bersama Pejabat Daerah Telang Usan dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Long Lama sempena sambutan Hari Kebangsaan 2020.
Dalam pada itu beliau mengimbas kembali perbezaan keadaan Baram sebelum ini berbanding sekarang dengan banyak perubahan dan pembangunan yang telah dinikmati penduduk Baram.
“Sebagai contoh rakyat di kawasan Baram kini telah menikmati perhubungan jalan raya yang sempurna menuju ke Lapok atau Long Lama berbanding dahulu yang terpaksa menggunakan jalan tanah yang memakan masa berhari-hari untuk sampai ke sesuatu tempat,” katanya.
Malahsebelum ini bekalan api elektrik dan air memang sukar untuk dinikmati tetapi sekarang rakyat harus bersyukur kerana semua kemudahan asas seperti ini telah pun dilaksanakan kerajaan.
Turut hadir pada majlis tersebut Pembantu Residen Miri, Abdul Aziz, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Edward Mendai serta ketua-ketua masyarakat setempat.
Oleh Jiku Juguong