Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak, Korea Selatan jalin kerjasama strategik pacu cip AI generasi seterusnya
  • SEMASA

Sarawak, Korea Selatan jalin kerjasama strategik pacu cip AI generasi seterusnya

Utusan Sarawak 16 hours ago
SYARIKAT milik penuh kerajaan Sarawak, SMD Semiconductor Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Korea Selatan Rebellions Inc, pembuat cip kecerdasan buatan (AI) terkemuka untuk memajukan reka bentuk cip AI dan pembangunan semikonduktor sekali gus meletakkan Sarawak di barisan hadapan landskap AI yang berkembang pesat di Asia. Foto UKAS

PETRA JAYA: Syarikat milik penuh kerajaan Sarawak, SMD Semiconductor Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Korea Selatan Rebellions Inc, pembuat cip kecerdasan buatan (AI) terkemuka untuk memajukan reka bentuk cip AI dan pembangunan semikonduktor sekali gus meletakkan Sarawak di barisan hadapan landskap AI yang berkembang pesat di Asia.

Kerjasama strategik itu, satu langkah berani ke arah merealisasikan wawasan Sarawak untuk muncul sebagai kuasa besar dalam semikonduktor global dan ekosistem AI, ditekankan semasa kunjungan hormat delegasi daripada Rebellions Inc ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di sini, hari ini.

“Lawatan Rebellions Inc itu adalah susulan sesi libat urus strategik oleh delegasi Sarawak ke ibu pejabat syarikat tersebut di Seongnam City, Korea Selatan pada 1 Oktober lepas diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel,” kata SMD Semiconductor dalam satu kenyataan.

Kerjasama berkenaan akan dimuktamadkan menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) semasa Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2025 yang akan disaksikan oleh Abang Johari pada 22 Oktober depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Lawatan Rebellions Inc ke Kuching turut melibatkan pembentangan mengenai prospek pertumbuhan syarikat, sasaran tawaran awam permulaan (IPO), dan potensi kerjasama strategik dengan Sarawak, memberikan Premier Sarawak maklumat terbaharu menjelang peranannya mewakili Malaysia dalam menyampaikan ucaptama pada Persidangan ASEAN mengenai Penggunaan AI dari 26 hingga 28 Oktober.

Delegasi Rebellions diketuai oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengasas bersamanya, Sunghyun Park bersama-sama CEO InterVest Co Ltd, Chung Hee Woo dan Pengarahnya John Ha.

Mereka turut disertai oleh Pengerusi SMD Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariman Jamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Capital Ventures Sdn Bhd Abdul Aziz Abu Bakar.

Peneraju yang diiktiraf dalam pemecut AI dan teknologi Memori Lebar Jalur Tinggi, Rebellions Inc mereka bentuk pemproses khusus yang menghasilkan prestasi AI lebih pantas, hijau dan cekap.

Kerjasamanya dengan syarikat reka bentuk cip tanpa menggunakan loji fabrikasi, beribu pejabat di Sarawak yang mengkhusus dalam litar bersepadu analog dan isyarat campuran, SMD Semiconductor, menandakan langkah penting dalam membina inovasi merentas sempadan dan menandakan satu langkah besar ke arah mewujudkan kerjasama teknologi yang mampu bersaing dengan syarikat terkemuka dalam industri itu seperti Nvidia Corporation.

Abang Johari meluahkan keyakinan bahawa kerjasama itu adalah seiring dengan matlamat jangka panjang Sarawak untuk membangunkan Lembah Silikon Rumah Panjang Bersepadu iaitu ekosistem bertaraf dunia untuk teknologi dan inovasi.

“Perkongsian seperti ini penting untuk meningkatkan kedudukan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor global. Ia mencerminkan komitmen kami untuk membina ekonomi kukuh, dipacu pengetahuan yang boleh bersaing dan bekerjasama di persada antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Wan Lizozman berkata perkongsian itu merupakan langkah yang menentukan dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi pusat utama silikon Asia bagi reka bentuk dan inovasi cip termaju.

“Dengan menyatukan kekuatan kita dengan peneraju AI global seperti Rebellions Inc, kita bukan hanya mengambil bahagian dalam pertumbuhan industri..kita membentuknya. Kerjasama ini akan melangkaui batasan inovasi dan mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam ekosistem semikonduktor global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil berkata kerjasama itu sebagai pencapaian penting bagi merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab semikonduktor global serta menerajui rantaian bekalan teknologi di peringkat global.

“Inovasi dalam AI tidak lagi ditakrifkan oleh Lembah Silikon sahaja. Dengan kepakaran AI Rebellions dan keupayaan reka bentuk cip oleh SMD, kami sedang menjalinkan kerjasama dalam teknologi yang akan menetapkan piawaian baharu untuk prestasi, kemampanan dan kecerdasan. Ini adalah cara Sarawak menempatkan kedudukannya di peta dunia dalam inovasi semikonduktor,” katanya.

-BERNAMA

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Tun Wan Junaidi bakal hadiri Regata Sarawak, Festival Tebingan Kuching 2025
Next: AirAsia terima pesawat A321neo, A321LR separuh kedua 2026 perluas penerbangan jarak sederhana

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.