KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) mengalakkan program seperti mengembara bagi pelancong tempatan dan dari luar negara.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan majlis tempatan bagi memastikan tempat pengembaraan itu dilengkapi kemudahan asas.
“Tandas yang bersih dan tempat untuk mendaki gunung ataupun masuk ke dalam hutan dibimbing dengan betul kerana kita tidak mahu pelancong mengembara dalam hutan sesat kerana banyak kes pelancong tersesat terutama sekali di Santubong dilaporkan,” katanya.
Apabila pelancong mengembara ke dalam hutan atau mendaki bukit, mereka mesti memaklumkannya kepada renjer yang bertugas, katanya kepada pemberita semasa melawat ke tapak projek di Santubong Archaeological Park di Sungai Jaong, Bongkissam atau Bukit Maras dan Wallace Centre, di sini, semalam.
“Sebagai misalan, pelancong harus memaklumkan renjer bila mereka hendak mengembara, berapa orang dan sebagainya. Tetapi kadang-kadang ada pelancong yang mendaki gunung atau mengembara ke dalam hutan tanpa memberitahu renjer. Di sinilah masalahnya timbul.
“Selain daripada itu, nasihat saya juga kepada mereka yang hendak mendaki gunung pastikan sihat dan berkeupayaan untuk mendaki.
Sehubungan itu, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kementerian memang mengalakkan anak-anak muda ataupun mereka yang berminat dengan alam semulajadi, rimba dan bukit, untuk melancong dalam negeri.
“Mereka akan dapat menghayati keindahan dan khazanah hutan dan bukit,” katanya.
Hadir sama Menteri Muda Hal Ehwal Islam Dan DBKU merangkap Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee; dan Ketua Timbalan Pengarah DBKU, Mohamed Khaidir Abang.