
SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menegaskan kejohanan sukan antara rumah bukan sekadar acara tahunan, tetapi medan penting mencungkil bakat dan membentuk jati diri murid sejak peringkat sekolah rendah.
Beliau berkata, penglibatan aktif murid dalam bidang sukan mampu melahirkan generasi berkualiti dengan minda cerdas serta tubuh badan yang cergas asas kepada pembentukan modal insan yang seimbang.
“Sukan mendidik murid untuk berdaya saing, berdisiplin dan tidak mudah berputus asa nilai yang penting dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang Kali Ke-41 di Kompleks Sukan Sri Aman, semalam.
Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya mengekalkan tradisi penganjuran setiap tahun tanpa gagal hasil kerjasama erat antara Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Persatuan Bekas Pelajar serta penyumbang individu.
Sebagai sokongan kepada usaha tersebut, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mengumumkan kelulusan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM20,000 bagi 2026 untuk menampung penganjuran kejohanan akan datang.

Majlis perasmian dimeriahkan dengan lintas hormat kontinjen rumah sukan diiringi pasukan pancaragam sekolah, serta persembahan lompat tali oleh para murid SJK Chung Hua Simanggang.
Turut hadir wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Munau Bongsang, Guru Besar, Chin Kui Nam, Pengerusi LPS, Temenggong Kueh Aik Seng, Yang Dipertua PIBG, Goh Kaw Sze dan Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar, Tiong Ing Chung.
Oleh Adi Safarman