

BERAT badan In Young bertambah lebih 10 kilogram.
SEOUL: Bekas anggota kumpulan K-pop terkenal, Jewelry, Seo In Young mengejutkan peminat apabila tampil dengan penampilan baharu yang memperlihatkan perubahan ketara pada wajah dan bentuk badannya.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 39 tahun itu menegaskan perubahan tersebut bukan disebabkan oleh prosedur pembedahan plastik, sebaliknya berpunca daripada pertambahan berat badan melebihi 10 kilogram.
“Saya suka diri saya yang sekarang. Dulu berat saya hanya 42 kilogram, tapi sekarang lebih sedikit. Saya rasa lebih tenang dan selesa,” katanya.
Seo In Young mengakui, sewaktu aktif sebagai idola K-pop, dia pernah mengamalkan gaya hidup ekstrem semata-mata untuk mengekalkan imej ramping, termasuk hanya bergantung kepada susu sebagai makanan harian.
“Dulu saya hidup hanya dengan susu. Kini saya makan dengan baik dan gembira. Kalau saya mahu turunkan semula berat badan, saya tahu saya boleh lakukannya,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi itu turut memaklumkan bahawa dia telah membuang implan hidung yang sebelum ini menjadi antara ciri ikonik wajahnya kerana menimbulkan ketidakselesaan.
“Saya dah buang sepenuhnya implan itu. Dulu hujung hidung saya sangat tajam dan ia menyusahkan saya,” jelasnya.
Selain itu, Seo In Young juga bercadang untuk memadam tatu dan menanggalkan tindik sebagai langkah untuk kembali kepada imej yang lebih semula jadi.
Dalam pada itu, beliau memberi bayangan bakal kembali aktif dalam industri muzik dan kini sedang menunggu masa sesuai untuk melancarkan single terbaharunya. – Agensi