
LEEDS (United Kingdom): Pengurus Tottenham, Thomas Frank, memuji semangat juang pasukannya selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Leeds, hasil jaringan pertama Mohammed Kudus untuk kelab itu yang melonjakkan Spurs ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris.
Noah Okafor menyamakan kedudukan selepas Mathys Tel membuka jaringan untuk pasukan pelawat dalam babak pertama yang berlangsung sengit dari awal hingga akhir
Namun ketika hujan lebat dan angin kencang Ribut Amy melanda Stadium Elland Road pada separuh masa kedua, Spurs tetap berdisiplin dan memperoleh gol kemenangan menerusi rembatan Kudus yang terkena defleksi — sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Leeds di laman sendiri selama lebih setahun.
“Saya rasa semangat pasukan menjadi asas kejayaan ini,” kata Frank.
“Datang ke sini, melalui tempoh sukar dan tetap fokus bukan perkara mudah. Kami benar-benar perlukan kemenangan ini… Perasaan apabila berjaya raih tiga mata amat bermakna.”
Spurs kini hanya satu mata di belakang pendahulu Liverpool, tetapi Arsenal berpeluang merampas tempat teratas apabila mereka menentang West Ham sebentar lagi.
Tottenham sebelum ini terpaksa berhempas pulas untuk mengelak kekalahan menentang Wolves, pasukan tercorot liga, dan juga Bodo/Glimt dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.
Frank melakukan enam pertukaran pemain daripada skuad yang bermain di Lingkaran Artik pada Selasa, dan usaha itu dibalas dengan persembahan yang lebih bertenaga daripada pasukan pelawat.
Namun Leeds pasti kecewa kerana gagal memanfaatkan peluang untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di Elland Road sejak tewas kepada Burnley pada September 2024.
“Kita boleh terima kekalahan jika ia datang daripada pasukan hebat seperti Tottenham,” kata pengurus Leeds, Daniel Farke.
“Saya masih gembira dengan persembahan pasukan. Jika kami terus bermain sebegini, kami akan baik-baik sahaja di penghujung musim.”
Joe Rodon hampir meletakkan Leeds di depan apabila tandukannya hasil sepakan percuma Sean Longstaff terkena tiang pada minit ketujuh.
Mathys Tel, yang tidak tersenarai dalam skuad Liga Juara-Juara Spurs selepas gagal menyerlah sejak perpindahannya secara tetap dari Bayern Munich, diberi peluang beraksi di posisi penyerang tengah — dan membalas kepercayaan itu dengan gol pertamanya musim ini.
Tel menerima hantaran daripada Kudus dan rembatan kencangnya terkena defleksi pemain pertahanan Pascal Struijk, menyebabkan penjaga gol Karl Darlow tidak berdaya.
Dominic Calvert-Lewin mensia-siakan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan sebelum Kudus melakukan percubaan yang juga tersasar hasil serangan balas pantas Spurs.
Namun pasukan Farke wajar berada sekurang-kurangnya seimbang pada waktu rehat apabila penjaga gol Tottenham, Guglielmo Vicario, hanya mampu menepis rembatan Brenden Aaronson ke laluan Okafor yang mudah menolak masuk untuk gol kedua beliau bersama Leeds.
Tel hampir menambah satu lagi gol sebelum rehat apabila tandukannya terkena palang gol pada masa tambahan babak pertama.
Separuh masa kedua bermula dengan tempo sama apabila Vicario menafikan percubaan Calvert-Lewin menggunakan kakinya
Kudus kemudian muncul wira perlawanan dengan larian deras ke tengah padang sebelum melepaskan rembatan deras yang terkena defleksi Gabriel Gudmundsson, memperdaya Darlow dan memastikan tiga mata berharga untuk Spurs.
Musim lalu, Tottenham kehilangan lebih banyak mata daripada kedudukan mendahului berbanding mana-mana pasukan lain dalam Liga Perdana, dan menamatkan musim di tangga ke-17 — hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran.
Namun di bawah bimbingan Frank, tabiat itu berjaya dihapuskan kerana Spurs belum pernah gagal mengekalkan kelebihan apabila mendahului dalam mana-mana perlawanan musim ini.
Pasukan pelawat bagaimanapun hampir dikecewakan di masa kecederaan apabila Vicario menebus kesilapannya dengan satu penyelamatan cemerlang daripada rembatan rendah Joel Piroe
Kekalahan itu meletakkan Leeds di tangga ke-12 dengan lapan mata selepas tujuh perlawanan pertama. – AFP