KUCHING: Untuk Kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berakhir 31 Ogos ini adalah satu tindakan yang berhemah dan bijaksana.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos berkata, ini adalah memandangkan wabak Covid-19 masih terdapat dikalangan masyarakat selain dalam usaha untuk mengelakkan gelombang kedua melanda Negara.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melanjutkan PKPP yang akan berakhir 31 Ogos ini berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung Covid-19 berlaku tidak kurang dari dua tahun.
“Sehingga sekarang, telah dibuktikan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKPP sangat berkesan dan kita berterima kasih kepada kerajaan atas usaha itu.
“Walaupun kes jangkitan wabak itu masih berterusan walaupun tidak banyak dan serius, namun PKPP adalah masih amat diperlukan bagi mengekang penularannya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tegasnya, PKPP adalah perlu diteruskan sehingga wabak tersebut benar-benar sudah tiada.
“Kita sebagai pihak berkuasa tempatan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi Covid-19.
“Selain itu, masih terdapat segelintir (kumpulan kecil) masyarkat mempunyai sikap ingkar dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP, maka penguatkuasaan masih tetap diperlukan.
“Sekiranya PKPP dilanjutkan, kita akan merasa lebih senang dan usaha pemulihan di semua sektor dan ekonomi juga masih dapat diteruskan,” ujarnya. Tambahnya, beliau yakin masyarakat juga tidak keberatan untuk menerima pelanjutan PKPP hingga akhir September ini atau lebih lama lagi.
Oleh Zarina Abdullah