KUCHING: Penduduk Kampung Kudei Baru kini boleh menarik nafas lega apabila permasalahan rumahnya selama ini telah segera dibaik pulih menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak.
Timbalan Ketua Cawangan PBB DUN Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, PPRMS ini bertujuan membantu penduduk yang mempunyai rumah yang daif dan perlu diambil tindakan segera supaya penduduk dapat mendiami kediaman yang selesa dan selamat.
“Keadaan rumahnya yang memerlukan bantuan seperti atap rumah bocor, lantai berlubang, rumah senget dan rumahnya meluncur ke bawah.
“Untuk baik pulih itu, kita telah mengangkat rumahnya yang senget beserta lantai yang diangkat supaya stabil.
“Selepas ya kita pasang lantai dan atap dengan keseluruhan atapnya sudah 80 peratus siap di bilik tidur dan sedikit lagi di kawasan tandas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat rumah Hussain Narudin yang menerima bantuan PPRMS3 di Kampung Kudei Baru, di sini, pada Sabtu lepas.
Bantuan tersebut akan membolehkan Hussain bersama empat ahli keluarganya mendapat tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.
Setakat kini, sebanyak 52 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok telah dibaik pulih menerusi PPRMS.
Dalam perkara berkaitan, Ibrahim turut menjelaskan pihaknya telah menyambung pembangunan di kawasan ini dengan menambahbaik pelbagai kemudahan pembangunan di bawah Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Peruntukkan Khas dan tambahan peruntukan Kementerian Perumahan.
“Kita sedang melaksanakan beberapa projek pembangunan di kawasan Kudei ini dengan menggunakan peruntukkan dari RTP dan MRP serta peruntukkan khas dan tambahan iaitu dari Kementerian Perumahan.
“Projek-projek ini merangkumi pembangunan infrastruktur yang besar seperti jalan, parit, jambatan serta elektrik dan air,” jelasnya.
Sementara itu, Hussain ketika ditemui melahirkan rasa gembira apabila permasalahan rumah yang dihadapinya selama ini telah berakhir hasil manfaat PPRMS DUN Satok ini.
“Alhamdulillah dan syukur di atas bantuan yang telah diberikan dalam membantu membaik pulih rumah ini.
“Kini, saya sekeluarga boleh menarik nafas lega apabila tidak lagi ada bocor, senget dan lantai rosak.
“Semuanya baharu dan selesa. Terima kasih kerajaan GPS,” katanya.
Oleh Zarina Abdullah