
KANOWIT: Seorang anak kapal dilaporkan hilang selepas terjatuh dari tongkang di Sungai Kanowit berhampiran pekan Kanowit, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Junical Ujal berkata, mangsa dikenali sebagai Jamie Adong, 54, dan kali terakhir dilihat hanya memakai seluar dalam serta mempunyai tatu di lengan kanan.
Menurut siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai sedang membuang air besar di hujung tongkang yang sedang ditunda oleh sebuah bot tunda.
“Kejadian berlaku sekitar 4.20 petang, ketika tongkang sedang menyusuri Sungai Rajang, pada jarak lebih kurang dua kilometer dari pekan Kanowit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, tiada sebarang tanda unsur jenayah dikesan setakat ini.
Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dijalankan segera berikutan cuaca gelap dan hujan lebat di kawasan terbabit.
“Operasi SAR dijadual dimulakan hari ini, 24 September, sekitar 8.00 pagi,” katanya.