
BINTULU: Sebanyak tiga projek naik taraf bernilai keseluruhan RM400,000 sedang dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025, bagi meningkatkan kemudahan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, berkata antara projek berkenaan ialah pembinaan jalan konkrit di Rumah Fabian Jembu Tangi (RM200,000), naik taraf Dewan Serbaguna Kampung Kuala Segan (RM100,000) serta naik taraf bumbung dan pemasangan penghawa dingin di bangunan Persekutuan Perkumpulan Wanita (WI) Daerah Bintulu (RM100,000).

“Kita berharap projek RTP ini memberi keselesaan kepada rakyat di DUN Jepak, dan dalam masa sama membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti WI memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ada,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika meninjau ketiga-tiga lokasi projek tersebut bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu, semalam.
Iskandar turut memaklumkan bahawa cadangan projek untuk RTP 2026 sudah mula dikenal pasti, dan pihaknya kini mengumpul maklum balas daripada penduduk kampung, rumah panjang, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Kita akan tetapkan keutamaan secara bergilir. Mereka yang menerima peruntukan tahun ini akan beri laluan kepada kumpulan lain pada tahun hadapan,” katanya.
Menurut beliau, peruntukan RTP sekitar RM5 juta setahun memerlukan perancangan rapi dan bersepadu bersama agensi teknikal seperti JKR, Jabatan Saliran dan Pengairan (DID) serta Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
“Semua cadangan ini akan diselaraskan dengan Pejabat Residen sebelum dimuktamadkan dalam perancangan RTP 2026,” tambahnya.
Oleh Carolyne Utih