
MIRI: Siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) di bandar ini diuji dengan lancar oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam ujian berkala yang dilaksanakan pagi tadi di Miri Central Park.
Ujian sistem ini dilakukan bagi memastikan siren berfungsi dengan baik dan berada dalam keadaan optimum sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Menurut Pegawai Meteorologi Miri, Freddie Anit, ujian siren tsunami diadakan dua kali setahun di lokasi-lokasi terpilih.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan masyarakat sentiasa bersedia dan dapat menerima amaran awal sekiranya berlaku kejadian tsunami yang sebenar,” katanya.
Setakat ini, tiga menara siren SAATNM telah dipasang di Miri, iaitu Luak Esplanade, Miri Central Park (bersebelahan Dewan Bandaraya Miri) serta Lutong (berdekatan pasar raya New World Mart)
Ujian siren bukan sahaja untuk menguji sistem teknikal, malah bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai langkah berjaga-jaga dan prosedur keselamatan sekiranya berlaku tsunami.
Oleh Liong Chai Ling