
KANOWIT: Golongan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah digesa agar lebih proaktif menggunakan media sosial untuk mempromosikan hasil kraftangan tempatan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dan memelihara warisan budaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, berkata media sosial kini merupakan saluran paling efektif untuk mengetengahkan produk ke pasaran yang lebih luas.
“Kita mempunyai ramai wanita berbakat menghasilkan kraftangan yang cantik dan unik.
Gunakanlah Facebook, Instagram, TikTok atau WhatsApp untuk berkongsi gambar, video dan cerita tentang produk anda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Penutupan Bengkel Kraftangan Biro Wanita Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Corina Jenipa di Nanga Dap, baru-baru ini.
Tambah beliau, promosi digital dapat membawa produk-produk tempatan bukan sahaja ke seluruh Sarawak, malah ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Media sosial bukan sahaja membantu menjana pendapatan, malah memainkan peranan penting dalam mengekalkan identiti dan budaya masyarakat,” katanya lagi.
Anyi turut mengumumkan peruntukan RM5,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 1 2026 kepada Biro Wanita Rumah Corina Jenipa, sebagai galakan untuk meneruskan aktiviti seumpama itu.
Beliau berharap bengkel seperti ini akan terus dianjurkan secara berkala kerana memberi manfaat besar kepada komuniti wanita luar bandar.
Turut hadir, isteri ADUN Ngemah Gelim Utan, Pegawai UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang, Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sibu Jendri Mangku, ketua masyarakat, peserta bengkel dan tetamu jemputan.
Oleh Tarani Lanting