
PETRA JAYA: Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) kini giat melaksanakan pembinaan dewan serbaguna baharu di Jalan Patingan yang dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026.
Yang Dipertua PKMS, Dr Wan Ali Tuanku Madhi berkata, dewan berkapasiti 1,200 orang itu dibina dengan kos melebihi RM20 juta termasuk kelengkapan dan bakal menjadi pusat penganjuran pelbagai aktiviti masyarakat.
“Kami berjumpa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memaklumkan perkembangan pembinaan Dewan Serbaguna PKMS.
“Setakat ini, kerja-kerja pembinaan sedang berjalan dan dijangka siap menjelang Mac 2026,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan dewan yang terletak berhadapan dengan bangunan KAFAS dan bersebelahan kawasan parkir bot Jabatan Tanah dan Survei (JTS) itu akan dilengkapi dengan kemudahan serba moden.
Dalam pada itu, Dr Wan Ali turut menjemput Premier Sarawak untuk menghadiri Festival Marhaban Borneo dan Pertandingan Zikir Marhaban seluruh Sarawak yang akan diadakan pada 1 dan 2 November 2025 di Hikmah Exchange, Kuching.
Menurutnya, Festival Marhaban Borneo yang pertama kali diadakan bakal menghimpunkan penyertaan pasukan dari seluruh Sarawak serta antarabangsa termasuk Sabah, Brunei Darussalam dan beberapa wilayah di Kalimantan seperti Sanggau, Kota Singkawang, Sambas, Mempawah, Sekadau dan Kalimantan Timur.
Beliau menambah bagi Pertandingan Zikir Marhaban pula, ia merupakan penganjuran kedua selepas edisi pertama pada September 2023 lalu di Raia Hotel.
Selain itu, beliau memberitahu dalam pertemuan dengan Premier Sarawak, PKMS turut memberi penekanan kepada program pendidikan serta aktiviti bagi menangani isu belia dan remaja sebagai antara fokus utama persatuan tersebut.
Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Timbalan Yang Di-Pertua PKMS, Mohd Zain Abang Ismail dan Setiausaha Agung PKMS, Ahmad Zainduddin Drahman.
-UKAS