
LAWAS: Hujan berterusan sejak petang semalam hingga awal pagi ini mengakibatkan paras air Batang Lawas melimpah, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, yang turun padang meninjau keadaan, memaklumkan bahawa beberapa kawasan di Trusan seperti Long Tukon, Long Temarup, dan kawasan rendah lain terjejas akibat banjir.
“Kita juga dimaklum tentang keadaan pekan Sundar yang sekarang ini tidak dapat dilalui kenderaan kecil kerana sedang dilanda banjir kilat.

“Bagi bandar Lawas kita bersyukur kerana Tebingan Sungai Lawas yang dibina telah banyak membantu mengurangkan limpahan air daripada Batang Lawas dan kesannya agak minima,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.
Henry Sum turut memaklumkan bahawa Lapangan Terbang Lawas sekali lagi terpaksa ditutup selepas landasannya ditenggelami air.
Pada masa yang sama, pihak Bomba dan Penyelamat bersama Polis Diraja Malaysia Lawas dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Lawas telah digerakkan untuk memantau keadaan.

“Semua agensi bertanggungjawab saling bekerjasama dengan baik dan kita berharap rakyat juga dapat memberikan kerjasama kerana ini merupakan bencana alam yang sukar untuk kita ramal.
“Kita juga mohon pihak bertanggungjawab dapat memperbaiki isu telekomunikasi di Lawas kerana sekarang kita berdepan isu telekomunikasi yang agak membimbangkan,” tambahnya.
Masalah perhubungan menyulitkan mangsa berhubung dengan pasukan menyelamat dan pihak pentadbiran di Lawas.
Kawasan Merapok turut mengalami banjir kilat khususnya di Kampung Masjid Merapok dan laluan ke Ulu Merapok juga ditengelami air.
Daerah Lawas mengalami hujan berterusan sejak petang semalam sehingga awal pagi ini.
Oleg Adeng Edrus