

GAMBAR tangkap layar menerusi video Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan kemahiran menebar roti canai ketika bercuti di Sibu. Foto Facebook Ayob Khan Mydin Pitchay
SIBU: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menarik perhatian warganet apabila video memaparkan beliau menebar roti canai tular di media sosial sejak semalam.
Menerusi rakaman berdurasi dua minit 13 saat yang dimuat naik ke akaun Facebook rasminya, Ayob Khan dilihat menebar tujuh keping roti canai di sebuah restoran di Terminal Bas Sibu, Sarawak, ketika bercuti singkat bersama isterinya.
Dalam kapsyen yang mengiringi video tersebut, beliau berseloroh bahawa tindakan spontan itu dilakukan selepas melihat cara penyediaan roti canai di restoran tersebut yang tidak menepati seleranya.
Beliau memaklumkan bahawa pada 15 September lalu, beliau dan isterinya sedang bercuti selama dua hari di Sibu, Sarawak.
Pada malam tersebut, mereka berkunjung ke sebuah restoran di Terminal Bas Sibu untuk menikmati roti canai, namun setelah melihat cara penyediaannya yang tidak menepati cita rasanya, beliau mengambil inisiatif untuk menebar sendiri roti canai di situ.
Ayob Khan menjelaskan bahawa beliau menebar tujuh keping roti canai untuk dimakan bersama isterinya, sambil berseloroh bahawa sekali-sekala beliau perlu mengasah bakat juga, lebih-lebih lagi kerana beliau sudah menghampiri usia persaraan.
Aksi bersahaja beliau itu menerima reaksi positif daripada netizen yang rata-rata memuji sikap rendah diri serta sifat mesra rakyat yang ditonjolkan oleh Ayob Khan, meskipun memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis.
Sehingga 11.00 pagi tadi, video tersebut telah ditonton lebih 72,000 kali, menerima lebih 8,000 tanda suka serta lebih 1,000 komen daripada pengguna Facebook.
Antara komen menarik yang ditinggalkan netizen termasuk:
“Tan Sri, nanti dah pencen kalau jadi buka kedai roti canai, bagi tahu nahh. Kami semua nak mai makan,” tulis Mohd Aizat Syafiq.
“Keluarga yang berjiwa legasi membantu ibu bapa suatu ketika dahulu. Kenangan zaman kanak-kanak yang kekal selamanya, Tan Sri. Semoga Allah memberkati,” kata RajeeDaan Thasan.
“Tan Sri tebar memang kelasnya… tak kekok langsung. Orang hebat berjiwa rakyat. Semoga panjang umur dan murah rezeki, insya-Allah,” ujar Md Yazid.
Perkongsian itu bukan sahaja menghiburkan orang ramai, malah memberi gambaran sisi peribadi Ayob Khan yang bersahaja dan tidak kekok bergaul dengan masyarakat dalam suasana santai.