DALAT: Peruntukan berjumlah RM149,000 diluluskan untuk membiayai beberapa projek di Kampung Kekan, dekat sini.
Surat kelulusan itu disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah pada Jumaat lalu dan diserahkan kepada Ketua Kaum, Augustine Kupang bagi Kampung Kekan Proper dan Ketua Kaum (KK), Uprel Depit untuk Kampung Kekan Seberang.
Penyampaian peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) itu disampaikan sempena dengan Program Ziarah Kampung Kekan.
Projek yang terlibat bagi Kampung Kekan Proper ialah naik taraf dewan serbaguna yang berjumlah RM50,000, projek bina jalan simen di Kampung Tegup (RM20,000) dan naik taraf jalan jeti Balai Raya (RM25,000).
Manakala, Kampung Kekan Seberang menerima projek penyambungan tebingan hakisan sungai yang berjumlah RM36,000 dan pembinaan dua jeti berbumbung di muara Sungai Kut-Kampung Kekan Seberang yang berjumlah RM18,000.
Fatimah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut menghadiri program sama di Balai Raya Kampung Medong Hulu.
Pada program itu, beliau juga menyampaikan peruntukan MRP kepada Kampung Medong Hulu dan Kampungg Medong Seberang.
Projek yang terlibat ialah baik pulih titi belian di hadapan Klinik Desa menuju ke jalan utama Kampungg Medong yang berjumlah RM34,000, membina titi belian di Kampung Medong Hulu (RM24,000), membina titi belian dari rumah Ubeh Mukan ke jalan utama Kampung Medong Hulu (RM39,500) dan baik pulih rumah belanga Kampung Medong Seberang (RM20,000).
Surat kelulusan dan cek MRP projek tersebut diserahkan kepada KK Kim Bol yang mewakili Kampung Medong Hulu dan KK Mahrup Libeng yang mewakili Kampung Medong Seberang.
Oleh Henry B Siyu