
DARO: Lembaga Amanah Kemajuan Masyarakat Daro (LAKMD) komited memastikan Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Al-Syafie, Daro terus dilengkapi kemudahan terbaik bagi menyokong pembangunan sahsiah dan kemahiran golongan orang kurang upaya (OKU).
Pengerusinya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, pihaknya sedang menilai keperluan menambah baik kemudahan asas selain menyediakan perabot baharu bagi meningkatkan keselesaan pelatih dan memudahkan pengurusan pusat berkenaan.
“Sebagai pusat pembangunan sahsiah dan kemahiran anak-anak OKU, PDK memerlukan persekitaran yang selesa dan mesra pengguna.
“Usaha melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan sumbangan perabot baharu ini adalah sebahagian daripada komitmen kita untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam arus pembangunan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai lawatan kerja ke PDK Al-Syafie bersama Ahli-Ahli Pemegang Amanah LAKMD, baru-baru ini.

Safiee turut diberi taklimat mengenai perkembangan projek RTP yang sedang dilaksanakan termasuk kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur di pusat itu.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pengurusan PDK, sukarelawan dan keluarga pelatih atas dedikasi mereka menguruskan pusat berkenaan dengan penuh komitmen.
Turut hadir ialah Pengerusi PDK Al-Syafie, Mohd Faizal Jamiludin, wakil Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro, Mohd Khairulnizam Jamil dan Penyelia PDK Al-Syafie, Nur Syamimi Ismail.
Oleh Tarani Lanting