

SALBIAH Sabeli dan Alfian Abu Bakar menyampaikan sumbangan jersi kepada pekayuh Team Pak Ajis di Kampung Hulu Sri Aman, petang tadi. Foto: Adi Safarman
SIMANGGANG: Team Pak Ajis dari Kampung Hulu Sri Aman kini tampil dengan semangat baharu menjelang Regata Benak Batang Lupar 2025 apabila menerima penajaan jersi daripada Aqib ENT, hari ini.
Majlis penyerahan berlangsung secara ringkas tetapi penuh bermakna apabila Pengurus Aqib ENT, Salbiah Sabeli bersama Alfian Abu Bakar menyerahkan jersi rasmi kepada pasukan tersebut.
Penajaan itu dilihat bukan sekadar menyumbang kelengkapan, malah menjadi simbol sokongan masyarakat setempat terhadap semangat juang anak muda dalam beraksi di pentas perlumbaan air berprestij itu.
Pengurus pasukan, Ajis Entot, melahirkan rasa syukur dan bangga atas kesudian Aqib ENT tampil sebagai penaja pada edisi ke-22 Pesta Benak kali ini.
“Terima kasih kepada Aqib ENT kerana sudi menaja jersi. Ia satu suntikan moral yang besar buat anak-anak buah saya untuk turun ke ‘sungai’ dengan penuh keyakinan,” katanya.
Ajis dalam nada rendah diri turut menegaskan beliau lebih selesa melabelkan Team Pak Ajis sebagai pasukan ‘underdog’ berbanding pesaing lain yang sudah berpengalaman luas.
Sementara itu, Salbiah Sabeli menyifatkan penajaan itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat untuk menyokong pembangunan sukan tradisi masyarakat Sri Aman.
“Kami berharap Team Pak Ajis mampu mencipta kejayaan sekali gus mengharumkan nama Kampung Hulu Sri Aman dalam regata yang menjadi kebanggaan negeri ini,” ujarnya.
Regata Benak Batang Lupar 2025 bakal membuka tirai dari 19 hingga 21 September ini di Tebingan Sri Aman dengan penyertaan sebanyak 22 pasukan dari seluruh Sarawak yang akan berentap merebut gelaran Raja Sungai.
Oleh Adi Safarman