
MEXICO: Hampir 60 cedera, termasuk 19 parah, apabila sebuah trak gas meletup di Mexico City pada Rabu, menyebabkan kerosakan besar di kawasan sekitar, menurut pihak berkuasa tempatan.
Letupan berlaku di atas sebuah jambatan di Daerah Iztapalapa kawasan paling padat di timur ibu negara menurut Pegawai Perlindungan Awam, Myriam Urzua.
Sebanyak 19 mangsa dilaporkan mengalami lecur tahap kedua dan ketiga. Setakat ini, tiada kematian dilaporkan.

Rakaman televisyen dan media sosial menunjukkan detik letupan kuat itu berlaku, dengan beberapa individu kelihatan mengalami luka melecur serius.
Orang ramai dilihat melarikan diri dari kawasan kebakaran yang merebak pantas, sebelum api berjaya dikawal oleh pasukan bomba.
Beberapa kenderaan lain turut rosak dalam insiden berkenaan. Punca letupan masih dalam siasatan.
Gambar yang tular menunjukkan trak terbabit, yang membawa 49,500 liter gas, terbakar dan terbalik di atas jalan.

Asap tebal daripada kebakaran itu turut merebak ke sebuah stesen troli bas berdekatan salah satu mod pengangkutan utama di bandar yang mempunyai 9.2 juta penduduk ini.
Iztapalapa sahaja menempatkan kira-kira 1.8 juta penduduk, menjadikannya antara daerah paling padat di Mexico.
Mexico tidak asing dengan insiden membabitkan trak bahan api dan infrastruktur hidrokarbon.
Insiden paling dahsyat pernah berlaku pada Januari 2019 apabila kebakaran dan letupan pada saluran paip yang sedang dirompak meragut 137 nyawa di bandar Tlahuelilpan, negeri Hidalgo. – AFP