
MIRI: Usaha membersihkan dasar laut dan pesisir pantai perlu dijadikan agenda berterusan bagi memastikan ekosistem marin terus terpelihara sekali gus menyokong pembangunan pelancongan di bandar raya ini.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) atas penganjuran Operasi Pembersihan Bawah Air – Operasi Kedua yang berlangsung di sini hari ini.
Beliau berkata Miri dianugerahkan keindahan semula jadi yang menjadi aset penting Sarawak.
“Usaha seperti ini bukan sahaja membantu melindungi alam sekitar, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat dan sektor pelancongan. Saya difahamkan ini merupakan operasi kedua bagi tahun ini. Tahniah kepada NSJA kerana konsisten melaksanakannya,” ujarnya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri, Christopher Jemat Amie.
Chiew turut menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan, komuniti setempat dan pasukan penyelam yang berganding bahu menjayakan operasi kali kedua tahun ini.
Menurutnya, kerjasama pelbagai pihak membuktikan kesedaran masyarakat semakin meningkat dalam menjaga kebersihan perairan demi kesejahteraan generasi akan datang.
Oleh Liong Chai Ling