
SARIKEI: Seramai 81 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Udin diberi pendedahan secara langsung mengenai aspek keselamatan kebakaran menerusi ceramah khas dan demonstrasi yang dikendalikan oleh pihak bomba.
Ketua BBP Sarikei, Arrahman Chik, berkata program bermula 8.30 pagi hingga 11.30 pagi tersebut menghimpunkan 15 orang guru, 60 orang murid serta enam orang kakitangan sokongan sekolah.
“Antara pengisian utama adalah ceramah keselamatan kebakaran dan tatacara pengungsian bangunan.
“Turut diadakan adalah penerangan fungsi serta penggunaan alat pemadam api, pameran peralatan dalam jentera dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Katanya, program tersebut amat signifikan dalam usaha mendidik masyarakat khususnya generasi muda agar lebih bersedia berdepan situasi kecemasan.
“Pendedahan awal mampu meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga sekolah tentang langkah keselamatan kebakaran serta cara menggunakan alat pemadam api dengan betul.
“Kita mahu mereka bukan sahaja tahu teori tetapi juga mahir mengaplikasikannya dalam situasi sebenar,” katanya.

Tambahnya, seramai 10 orang anggota bomba bertugas mengendalikan program tersebut.
Oleh Earl Anek