Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Aplikasi MyKasih permudah urusan tebus penghargaan SARA RM100
  • NASIONAL

Aplikasi MyKasih permudah urusan tebus penghargaan SARA RM100

Utusan Sarawak 18 hours ago
PENGUNJUNG Roslita Saidin, 51, menunjukkan aplikasi MyKasih bagi memudahkan pengguna mengimbas dan menyemak mana-mana barangan yang ada di pasar raya sama ada tergolong di dalam senarai 14 kategori barangan keperluan asas yang diluluskan kerajaan ketika tinjauan di sebuah pasar raya. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Urusan pembelian barangan keperluan asas menerusi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 diakui lebih lancar dengan menggunakan aplikasi MyKasih.

Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengimbas dan menyemak barangan di pasar raya bagi memastikan ia tergolong dalam 14 kategori barangan keperluan asas yang disenaraikan kerajaan bagi penebusan inisiatif tersebut.

Roslita Saidin, 51, dari TTDI Jaya berkata semakan awal melalui aplikasi MyKasih bukan sahaja membantu mengelakkan penolakan barangan tidak layak di kaunter tetapi turut mempercepatkan urusan pembayaran.

“Suami saya sudah menggunakan aplikasi MyKasih sebelum ini dan dia ajar saya serba sedikit…tidak susah sebenarnya untuk mengimbas dan menyemak barangan sama ada ia tersenarai untuk SARA atau tidak.

“Kita perlu buat semakan awal setiap barangan yang mahu dibeli kerana kalau tidak masa beratur akan jadi panjang dan mungkin pembelian kita itu ditolak. Dengan menggunakan MyKasih semuanya jadi lebih mudah dan lancar,” katanya ketika ditemui Bernama di pasar raya Mydin Mart, Seksyen 13 di sini.

ROSLITA Saidin menggunakan aplikasi MyKasih bagi memudahkan pengguna mengimbas dan menyemak mana-mana barangan yang ada di pasar raya. Foto BERNAMA

Roslita berkata empat daripada lima ahli keluarganya layak menerima bantuan Penghargaan SARA sekali gus mengurangkan beban pembelian barangan keperluan asas mereka untuk tempoh lebih panjang.

Sementara itu, Adilah Mohd Uzir, 28, pula berkata bantuan khas oleh kerajaan itu meringankan beban keluarganya dalam membeli keperluan asas lebih-lebih dengan kos hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Dia berkata keluarganya yang terdiri daripada enam penerima bantuan Penghargaan SARA memilih untuk menggunakan kesemua RM600 itu sekali gus bagi melengkapkan keperluan asas isi rumah mereka.

“Lebih baik dan mudah beli sekali gus tidak perlu ulang-alik ke pasar raya tambahan pula kebanyakan pasar raya sesak ketika ini sebab ramai penerima yang mahu menebus bantuan tersebut,” katanya yang tinggal di Seksyen 18.

Mohd Zulfiqal Zainal, 31, pula menyarankan penerima bantuan agar merancang waktu pembelian bagi mengelakkan kesesakan, terutamanya selepas waktu pejabat. 

URUSAN pembelian barangan keperluan asas menerusi program bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sekali beri yang diperkenalkan Kerajaan MADANI baru-baru ini boleh dibuat dengan lebih lancar sekiranya orang ramai menggunakan aplikasi MyKasih ketika membeli-belah. Foto BERNAMA

Justeru, dia yang bekerja sebagai jurujual, memilih waktu tengah hari untuk menebus bantuan tersebut kerana yakin ketika itu orang ramai sedang menikmati makan tengah hari.

“Saya pilih waktu tengah hari untuk elak kesesakan. Lepas makan, saya dan isteri terus singgah ke pasar raya dan menebus bantuan yang telah dikreditkan ke dalam MyKad kami dengan pembelian barangan keperluan asas,” katanya.

Pada Selasa lepas, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru menebus bantuan Penghargaan SARA hingga perlu beratur panjang di kaunter bayaran kerana mereka mempunyai tempoh empat bulan untuk menggunakan kredit tersebut.

Teo berkata orang ramai mempunyai tempoh hingga 31 Disember ini untuk membelanjakan bantuan Penghargaan SARA RM100 sekali beri yang disalurkan Kerajaan MADANI sejak 31 Ogos lepas.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan,kerajaan mengumumkan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA. 

Inisiatif itu memberi memanfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi pogram Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Jadikan Rasulullah teladan dalam hadapi cabaran bina bangsa, negara – PM
Next: Sultan Nazrin sebak baca doa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.