KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir terus komited dalam membantu dalam aspek pendidikan di kawasannya.
Beliau memberitahu, ia dilakukan dengan mengadakan pelbagai program dan pemberian peruntukan bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan di sekolah terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak dan persekutuan tidak akan meminggirkan mana-mana sekolah di negara ini terutamanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
“Kerajaan mengamalkan dasar layanan sama rata dan tidak akan meminggirkan mana-mana sekolah rendah atau menengah.
“Tidak kira Sekolah Kebangsaan (SK), SJKC dan sekolah lain-lain,” ujarnya semasa melakukan tinjauan ke SJKC Chung Hua Kabong dekat sini semalam.
Chee Kadir berkata kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sentiasa mengiktiraf dan membenarkan SJKC beroperasi mengikut acuan negara.
“Peluang-peluang pendidikan dan dasar pendidikan negara adalah untuk menyatukan dan memberi manfaat kepada semua kaum.
Sejak menjadi wakil rakyat, aspek pendidikan terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong ini adalah menjadi keutamaan saya dalam meningkatkan pencapaian akademik dan melahirkan lebih ramai modal insan yang berdaya saing.
“Anugerah sekolah dan pelajar cemerlang yang saya laksanakan telah memberikan beberapa impak yang positif kepada pencapaian akademik di daerah ini. Pendekatan ini juga boleh dilaksanakan untuk sekolah SJKC di kawasan lain di Daerah Kabong,” ujarnya.
Chee Kadir berkata kerjasama semua pihak seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ahli lembaga sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan para pemimpin perlu bersatu untuk bersama-sama meningkatkan pencapaian akademik anak-anak untuk kebaikan masa hadapan generasi akan datang,” tegas beliau.
Pada masa sama Chee Kadir menyarankan agar komuniti Cina terus memberi sokongan dan bekerjasama dengan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kepentingan komuniti itu terus dijaga.
Beliau turut menasihatkan masyarakat di sini agar tidak mudah terpedaya dengan hasutan dan tuduhan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya memudaratkan rakyat dan negeri ini.
Beliau berkata tindakan oleh pihak itu hanya menyebabkan perbalahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Kekuatan kita di Sarawak adalah kepelbagaian. Tetapi kena ingat nasihat saya agar kita tidak sesekali terpedaya dengan hasutan dan tuduhan meliar yang dilemparkan oleh individu yang tidak bertanggunjawab,” ujar beliau.
Turut hadir ialah Guru Besar SJKC Chung Hua Kabong, Wong Ling Lung, Yang Dipertua PIBG SJKC Chung Hua Kabong, Wong Fung Kuang dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Lee Kiat Shin.
OLeh Adi Safarman