PEMAIN tengah antarabangsa Sepanyol, David Silva telah bersetuju dengan kontrak dua tahun bersama Real Sociedad berikutan perpindahannya dari Manchester City, umum kelab La Liga Sepanyol itu semalam.
Silva, 34, menghabiskan satu dekad bersama City dan membuat penampilan terakhir sebagai pemain gantian ketika tewas 3-1 Ahad lepas kepada Lyon dalam perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara UEFA. Dia di jangka menyertai rakan sepasukan Sociedad barunya dalam beberapa hari akan datang untuk latihan pramusim.
Kempen La Liga 2020/21 dijadualkan bermula pada 12 September. Sociedad menduduki tempat keenam musim lalu untuk layak ke Liga Europa.
Silva memenangi 11 piala domestik semasa berada di Manchester dan secara meluas di anggap sebagai salah seorang pemain import terbaik Liga Perdana Inggeris.
City berkata sebuah patung akan didirikan tahun depan untuk menghormatinya, sementara sebuah padang di tempat latihan kelab juga akan dinamai atas namanya.
Silva merupakan penjaring gol keempat tertinggi dalam sejarah Sepanyol dan keenam untuk penampilan sepanjang masa, dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Dunia 2010 dan dua Kejuaraan Eropah, pada tahun 2008 dan 2012. – AFP