KUCHING: Pihak sekolah diminta untuk memberitahu para pelajar dan ibu bapa mengenai perkhidmatan Bas Sekolah Percuma yang telah diperkenalkan Kerajaan Sarawak agar ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Pengarah Yayasan Sarawak, Azmi Bujang, berkata, ini kerana masih ada sebilangan pelajar dan ibu bapa yang belum mengetahui perkhidmatan Bas Sekolah percuma itu.
“Justeru, Yayasan Sarawak berharap mulai hari ini (semalam) dan seterusnya, pihak sekolah akan terus menyebar luas tentang perkhidmatan bas percuma ini kepada pelajar dan ibu bapa di sekolah masing-masing agar dapat dimanfaatkan,” katanya.
Beliau menggesa agar para pelajar dan ibu bapa memuat turun aplikasi bas sekolah percuma di Google PlayStore dan Apple AppStore atau berhubung dengan Seksyen Program dan Bantuan di talian 082-441686 atau melalui email ys@yayasansarawak.org.my.
Beliau berkata demikian ketika turun padang dan memantau operasi hari pertama Bas Sekolah Percuma seawal 6.00 pagi di lebih 30 lokasi pada Isnin.
Turut serta, Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus, bersama pegawai dari kedua-dua agensi tersebut.
Mengulas mengenai perkhidmatan hari pertama itu, beliau berkata, operasi hari pertama bas itu berjalan agak lancar.
“Secara amnya, perkhidmatan ini telah berjalan dengan baik walaupun terdapat sedikit masalah kecil dari segi laluan dan jadual,” jelasnya.
Justeru, ibu bapa dan pelajar boleh memuat turun peta menerusi pautan http://yayasansarawak.org.my/wp-content/uploads/2020/07/School-Bus-Maps-Ver-2.pdf
Sementara itu, aplikasi Free School Bus itu memaparkan laluan terlibat, tempat perhentian bas serta lokasi masa nyata (real-time) bas sekolah dan amat berguna untuk para ibu bapa juga guru untuk mengetahui perjalanan bas sekolah tersebut.
Perkhidmatan bas sekolah percuma Kerajaan Sarawak merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk meringankan beban rakyat bermula pada 17 Ogos lalu di kawasan Kuching dan Padawan.
Tujuan perkhidmatan itu diwujudkan adalah untuk kesejahteraan rakyat khususnya membantu mereka yang berpendapatan rendah di bandar utama.
Oleh Zarina Abdullah