

Anggota APM dijemput untuk mengendalikan slot ceramah Latihan Pertolongan Cemas sempena Program Minggu Suai Kenal Pelatih Giatmara Saratok, hari ini. Foto: APM Saratok
SARATOK: Seramai 20 pelatih Pusat Giatmara Saratok telah menerima pendedahan awal mengenai aspek kemahiran insaniah dan keselamatan pada Program Minggu Suai Kenal Pelatih Giatmara Saratok bagi sesi Julai yang berlangsung hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya telah dijemput untuk mengendalikan slot ceramah Latihan Pertolongan Cemas sempena program berkenaan.


Anggota APM dijemput untuk mengendalikan slot ceramah Latihan Pertolongan Cemas sempena Program Minggu Suai Kenal Pelatih Giatmara Saratok, hari ini. Foto: APM Saratok
Menurutnya, ilmu asas pertolongan cemas amat penting untuk dikuasai kerana ia dapat membantu menyelamatkan nyawa ketika berlaku kecemasan.
Dalam sesi tersebut, para pelatih didedahkan dengan beberapa komponen praktikal termasuk asas pertolongan cemas, pengurusan luka, teknik balutan serta tatacara penggunaan protokol resusitasi kardiopulmonari (CPR).
Latihan ini katanya dilaksanakan secara teori dan praktikal bagi memastikan pelatih benar-benar memahami kaedah yang betul.
Beliau berkata, perlaksanaan silibus latihan berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan positif daripada para pelatih. Pelatih turut diberi peluang untuk melakukan simulasi bagi meningkatkan keyakinan dan kemahiran dalam melaksanakan pertolongan cemas.
“Program ini juga adalahsebagai usaha berterusan APM dalam menyemai kesedaran awam mengenai kepentingan pengetahuan pertolongan cemas. Ia sekali gus memastikan masyarakat lebih bersedia menangani sebarang kejadian tidak dijangka,” katanya.

Selain meningkatkan kemahiran individu, program sebegini turut menyokong objektif pembangunan pelatih Pusat Giatmara yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang teknikal, tetapi turut celik dalam aspek keselamatan dan kesihatan awam.
Secara keseluruhannya, silibus asas pertolongan cemas yang dilaksanakan kepada pelatih Giatmara Saratok telah berjaya mencapai objektif penganjuran, iaitu memberikan pendedahan, pengetahuan serta kemahiran dalam menangani situasi kecemasan dengan lebih berkesan.
Oleh Adi Safarman