
PETRA JAYA: Program JIWA@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuching berjaya menghimpunkan sembilan Komuniti MADANI di sekitar Petra Jaya bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Puan Sri Kestury Mohammed Zamhari berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada 246 aktiviti JIWA@Komuniti MADANI HKHM 2025 yang dirancang di seluruh Sarawak.
“Komuniti MADANI merupakan sebuah badan sukarela yang merangkumi kepelbagaian kaum, agama dan budaya serta berperanan menyalurkan maklumat tepat dan sahih berkaitan dasar serta inisiatif kerajaan hingga ke akar umbi. Kejayaan program ini bergantung kepada penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Dewan Komuniti TSDA Dr. Sulaiman Haji Daud, Kampung Kolong 2, pagi tadi.
Menurut beliau, program pada pagi ini dimulakan dengan konvoi sempena HKHM 2025 ke tiga lokasi simbolik iaitu DUN Satok, Samariang dan Tupong untuk upacara memacak Jalur Gemilang.

“Program ini bukan sahaja memberi ruang interaksi secara langsung antara kerajaan dengan rakyat, malah turut melibatkan pemimpin setempat dalam suasana santai dan inklusif,” jelasnya.
Selain taklimat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pelbagai acara turut diadakan antaranya sukan rakyat seperti boling kelapa, tarik upih dan batu seremban pada sebelah petang, manakala pertandingan lagu patriotik pada sebelah malam.
Beliau berkata, JAPEN akan terus komited memastikan perkhidmatan penyampaian maklumat kerajaan disalurkan secara lebih berkesan dengan mengadaptasi cabaran komunikasi era digital.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan bahawa sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak yang telah dilancarkan pada 2 Ogos lalu perlu menjadi pemangkin kepada rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, selaras dengan inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG).
“Semangat patriotik bukan hanya bermusim, sebaliknya perlu dipupuk sepanjang masa sebagai jati diri rakyat. Dengan tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni pada tahun ini, kerajaan menekankan pentingnya nilai belas kasihan, toleransi dan kerjasama demi membentuk masyarakat yang inklusif,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk wakil rakyat di Satok, Samariang dan Tupong yang hadir memberi sokongan menjayakan program berkenaan.
“Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa hadapan demi kesejahteraan masyarakat Petra Jaya khasnya dan Sarawak amnya,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie yang mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusof.
Oleh Shikin Mahmud