
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane (kanan) meraikan gol keempat pasukannya bersama Luis Diaz (tengah) dan Konrad Laimer ketika bertemu RB Leipzig pada aksi Bundesliga di Allianz Arena, Munich. Bayern menang 6-0. – Foto AFP
MUNICH: Harry Kane meledak hatrik, Michael Olise menyumbang dua gol manakala pemain baharu Luis Diaz turut mencetak nama sebagai penjaring ketika Bayern Munich membelasah RB Leipzig 6-0 di laman sendiri pada aksi pembuka tirai Bundesliga pagi tadi.
Pemain baharu Bayern yang semuanya dibawa masuk dari Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh tiga musim terakhir tampil dominan ketika penyandang juara itu memulakan misi mempertahankan gelaran dengan penuh bergaya.
Olise menjaringkan dua gol pada babak pertama, diselang satu gol Diaz untuk membolehkan Bayern mendahului 3-0 sebelum rehat.
Tidak mahu ketinggalan, Kane pula menggegar dengan tiga gol pada separuh masa kedua, dua daripadanya hasil umpanan Diaz untuk melengkapkan kemenangan besar 6-0.
Kapten England berusia 32 tahun itu kini sudah mengumpul tujuh hatrik Bundesliga sejak menyertai Bayern dari Spurs pada musim panas 2023.
Kane dikeluarkan empat minit sebelum tamat dengan menerima tepukan gemuruh daripada penyokong tuan rumah, tanda penghargaan buat penyerang utama mereka.
Bayern, yang menjuarai 12 daripada 13 edisi terakhir Bundesliga, memberi amaran awal mereka masih pasukan yang perlu digeruni pada musim baharu ini.
Kane memberitahu Sky Germany: “Kami mahu mulakan musim dengan satu kenyataan dan itulah yang kami lakukan. Kami menguasai setiap bahagian padang dan klinikal bila peluang tiba, jadi kami boleh menikmatinya.”
Kapten Bayern, Joshua Kimmich bersetuju dengan kenyataan Kane sambil berkata: “Menang 6-0 di laman sendiri menentang Leipzig memang jelas satu kenyataan, tetapi cabaran sebenar dalam bola sepak adalah untuk mengulanginya tiga hari kemudian.”
Kimmich turut memuji Kane sebagai seorang “pemain sepasukan sejati.”
“Dia memang suka menjaringkan gol tetapi dia juga gemar mencipta peluang, turun membantu pertahanan, itu sesuatu yang istimewa. Dia tidak hanya menterjemahkan dirinya dengan gol dan ia amat membantu kami.”
Kane pula mengakui skuad Bayern musim ini antara yang paling kecil pernah disertainya selepas kehilangan beberapa tonggak seperti Kingsley Coman, Leroy Sane, Thomas Mueller dan Mathys Tel susulan perpindahan.
Sementara itu, Diaz muncul pemain ketiga dalam tiga musim berturut-turut yang menyertai Bayern dengan yuran besar dari England selepas Kane dan Olise, apabila dia meninggalkan Liverpool untuk berpindah ke Bavaria. – AFP