KUCHING, 26 Oktober: Di sebalik kesibukan menerajui Sarawak, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sempat menghiburkan hadirin dengan kisah lucu zaman kanak-kanaknya ketika disuruh membeli mi di Pasar Terbuka Kuching.
Beliau menceritakan bagaimana beliau mengayuh basikal ke pasar berkenaan selepas diminta oleh keluarganya untuk membeli Mi Soyong.
“Masa saya kecik dolok, saya disuruh beli Mi Soyong di Pasar Terbuka Kuching. Rumah kamek sik jauh dari sitok bah, jadi saya nait basikal.
“Saya kayuh la basikal sampe ke kedai, saya padah mok beli Mi Soyong. Pemilik kedai itu tanya, ‘Mok rebus atau goreng?’
“Saya jawab, ‘Saya sik tahu. Orang suruh beli Mi Soyong, jadi Mi Soyong jak lah saya nak.’
“Lepas itu, pemilik kedai berkenaan cakap, ‘Aku tok lah Soyong!’” katanya sambil berseloroh.
Abang Johari berkongsi kenangan tersebut ketika berucap pada perasmian Forum Bandar Sarawak 2.0 (SUF 2.0) di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), di sini, hari ini.
Beliau turut mengimbau zaman kanak-kanaknya ketika Sungai Sarawak menjadi tempat beliau dan rakan-rakan mandi serta berenang, memandangkan kemudahan kolam renang belum tersedia di kawasan berkenaan.

“Dolok marek kolam renang kame ada, nya ya Sungai Sarawak! Nak terjun, terjun!” katanya sambil mengimbau pengalaman terjun ke sungai, termasuk menggunakan pokok pedada ketika bermain air.
Beliau juga mengenang suasana Kuching pada zaman dahulu, apabila pasar, kedai kopi dan taman menjadi tempat masyarakat berkumpul serta berinteraksi tanpa bergantung pada telefon pintar.
Antara kenangan yang dikongsikannya ialah Taman Muzium, yang dahulunya menjadi tempat orang ramai berkumpul pada setiap Ahad untuk mendengar persembahan pancaragam polis.
Bagaimanapun, katanya, cara hidup masyarakat kini jauh berbeza apabila penggunaan WhatsApp, TikTok dan telefon pintar semakin mempengaruhi corak komunikasi harian.
“Jangan terlalu bergantung kepada WhatsApp. Orang kinek tok mun duduk sama, terlalu leka tengok skrin,” katanya.
Menurutnya, perubahan gaya hidup itu perlu diambil kira dalam perancangan pembangunan bandar supaya masyarakat masih mempunyai ruang untuk beriadah, bertemu dan meluangkan masa bersama keluarga.
Beliau berkata, pembangunan bandar di Sarawak perlu mengekalkan kawasan hijau dan ruang awam agar hubungan sosial yang menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan masyarakat dahulu tidak terhakis seiring dengan kemajuan.
Oleh Masrin Affirah




