

Dato’ Sri Rohani Abdul Karim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA yang telah berlangsung di Wisma SADA semalam. Foto: Pusat Khidmat ADUN Lingga
SIMANGGANG: Bahagian Sri Aman terus melangkah ke hadapan apabila Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) telah berlangsung di Wisma SADA semalam membincangkan pelbagai projek pembangunan baharu untuk rakyat.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi SADA, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, dengan fokus terhadap status pelaksanaan projek sedia ada serta cadangan projek tambahan yang bakal memberi impak besar kepada kawasan Sri Aman dan sekitarnya.
Antara agenda utama adalah membentangkan laporan terkini daripada agensi pelaksana serta memuktamadkan beberapa cadangan pindaan projek yang telah diluluskan sebelum ini bagi memastikan keberkesanan dan kelancaran pelaksanaannya.
Dalam mesyuarat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor turut membentangkan cadangan projek pembangunan baharu yang bakal mewujudkan kemudahan sosial moden serta infrastruktur kukuh di Sri Aman dan Lingga.
Projek ini dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Rohani dalam ucapannya menegaskan bahawa setiap projek yang dibincangkan bukan sekadar menambah prasarana fizikal, tetapi turut memberi tumpuan kepada kesejahteraan komuniti, peluang pekerjaan dan peningkatan ekonomi lokal.
Turut hadir Datuk Amar Jaul Samion, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh (ADUN Batang Ai), Datuk Snowdan Lawan (ADUN Balai Ringin), Datuk Mong Dagang (ADUN Bukit Begunan) bersama Residen Bahagian Sri Aman, Pegawai Daerah Sri Aman, Lingga, Pantu dan Lubok Antu serta ketua-ketua jabatan berkaitan.
Oleh Adi Safarman