
BINTANGOR: Semangat membara mengiringi pasukan bola tampar lelaki dan perempuan 14 Tahun Ke Bawah (14TKB) Meradong apabila bendera kontinjen diserahkan menjelang penyertaan mereka dalam Kejohanan Bola Tampar U14 Peringkat Sarawak 2025 yang akan berlangsung di Sibu dari 14 hingga 17 Ogos ini.
Majlis penyerahan bendera tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing yang turut hadir memberi kata semangat kepada para pemain.
Menurut Datuk Ding, pasukan 14TKB Meradong mempunyai potensi besar untuk mencatatkan keputusan cemerlang di kejohanan tersebut.
“Saya memberi sokongan penuh kepada pasukan dari Meradong.
“Dengan persediaan rapi dan semangat berpasukan yang tinggi, saya percaya mereka mampu membawa pulang kejayaan,” katanya ketika berucap di Dewan Chen Ling Mei Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung, baru-baru ini.
Beliau turut memuji usaha berterusan Kelab Bola Tampar Meradong yang saban tahun berjaya mencungkil bakat-bakat baharu sehingga melahirkan ramai pemain berpotensi untuk mewakili daerah, bahagian, negeri dan negara.
“Dalam masa yang sama, saya amat percaya pasukan Bola Tampar Meradong 14TKB akan mencapai kejayaan yang diimpikan dengan tunjuk ajar barisan jurulatih yang berpengalaman,” katanya.
Selain memberi sokongan, Datuk Ding juga mengambil kesempatan beramah mesra dengan para pemain, sambil berpesan agar mereka membawa nama Meradong ke tahap lebih tinggi serta mengangkat martabat daerah tersebut dalam arena bola tampar.
Turut hadir Wong Soon Mee selaku wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii dan Pengerusi Lembaga Sekolah SMK Kai Chung, Dato Ung Sing Ung.
Oleh Earl Anek