
SIBU: Persatuan Wartawan Sibu (SJA) memperkenalkan dua inisiatif baharu bagi menjaga kebajikan ahlinya, iaitu pemberian baucar gajet bernilai RM250 dan dana RM200 untuk pembelian tiket penerbangan.
Pengerusi Penganjur Majlis Makan Malam HAWANA SJA Sibu 2025, Mohamad Alhadi Shamsawi berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat jawatankuasa baru-baru ini sebagai usaha memastikan dana persatuan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua ahli.
“Baucar gajet PC Image bernilai RM250 akan diberikan pada 2026 bagi membantu ahli mendapatkan kelengkapan tugasan harian seperti fon telinga (earbud), fon telinga dan bank kuasa (powerbank) baharu.
“Inisiatif kedua melibatkan pemberian dana RM200 bagi menampung pembelian tiket penerbangan ke destinasi pilihan ahli, susulan tawaran diskaun 50 peratus oleh AirAsia ke pelbagai destinasi ASEAN sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) peringkat kebangsaan yang lalu,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini, malam tadi.
Majlis dirasmikan oleh Albert Tiang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Menurut Alhadi, ahli SJA boleh menuntut pulangan tunai RM200 dengan mengemukakan resit pembelian tiket selepas menikmati diskaun tersebut.
Sebelum ini, katanya, SJA telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk caruman RM150 ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk setiap ahli serta pemberian kupon parkir bernilai RM50.
Pada majlis sama, SJA turut menyampaikan ‘angpau’ RM100 kepada ahli yang menyambut ulang tahun kelahiran antara Julai hingga Disember tahun ini, selain pemberian serupa semasa sambutan Gawai lalu untuk kelahiran antara Januari hingga Jun.
Buat julung kalinya, SJA memperkenalkan Anugerah Tokoh Wartawan SJA 2025 yang menawarkan trofi dan wang tunai RM1,500 sebagai tanda penghargaan kepada wartawan berpengalaman yang banyak berjasa dalam industri media.
Alhadi menegaskan, pelaksanaan inisiatif itu mencerminkan komitmen kepimpinan SJA untuk memastikan kebajikan ahlinya sentiasa terpelihara tanpa mengira latar belakang syarikat atau organisasi.
Turut hadir Pengerusi SJA, Florence Nervyn; Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clarence Ting; serta tetamu jemputan lain.
Oleh Tarani Lanting