SIMANGGANG: Tuai Rumah dan Ketua Kampung perlu bersatu di belakang Kerajaan Sarawak bagi mengekang dakyah pembangkang yang gemar memutar belit pelbagai isu di kawasan ini.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata tindakan berkenaan adalah penting sejajar dengan fungsi serta peranan pelantikan mereka sebagai Ketua Kaum oleh Kerajaan Sarawak.
“Tuai Rumah dan Ketua Kampung selaku pemimpin di peringkat akar umbi haruslah sedar dan bertindak bijak mengenai asal usul pelantikan jawatan mereka seperti yang diharapkan oleh pihak pemerintah selama ini.
“Atas sebab itu jika timbulnya isu yang diputar belit oleh pihak pembangkang maka barisan Ketua Kaum ini haruslah bertindak menerangkan perkara sebenar di sebalik isu tersebut demi meredakan kekeliruan dalam kalangan penduduk di kawasan mereka,” kata beliau.
Harden ketika mengadakan pertemuan ringkas dengan Ketua Kaum di Pejabat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Simanggang di sini juga menasihat golongan tersebut untuk lebih kerap mengadakan aktiviti turun padang di kawasan mereka.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata tindakan itu adalah perlu bagi membantu wakil rakyat melaksana tugas mereka dengan lebih berkesan dari masa ke semasa.
“Ketua Kaum perlu segera melaporkan kepada saya jika berlaku masalah pembangunan dan kebajikan yang berlaku di penempatan penduduk dalam DUN Simanggang agar tindakan segera boleh diambil kelak.
“Lagi pun ia juga penting demi mengelak pihak pembangkang mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu itu untuk diguna bagi tujuan kepentingan politik mereka lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang,” kata Harden.