PAKAN: Sebanyak 34,091 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 42,265 hektar (104,436 ekar) yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri setakat ini di Sarawak, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Katanya, bagi Bahagian Sarikei, sebanyak 1,828 lot individu telah diukur dan melibatkan kawasan seluas 5,339 hektar.
Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu yang diperkenalkan pada tahun 2010 dilaksanakan secara dua peringkat iaitu pada peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian).
“Pada peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri akan dilaksanakan.
“Setakat ini, di Negeri Sarawak untuk warta rizab komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di bawah program penyukatan NCR Inisiatif Baharu, kita telah pun berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 939,877 hektar atau 2.3 juta ekar. Daripada jumlah tersebut seluas 753,456 hektar atau 1.8 juta ekar telah pun diwartakan.
“Manakala, bagi Bahagian Sarikei untuk warta rizab komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di bawah program penyukatan NCR Inisiatif Baharu, kita telah pun berjaya menyukat secara perimeter seluas 142,072.11 dan dari jumlah itu, sejumlah 137,035.11 telah diwartakan ,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Di Bahagian Sarikei, bertempat di Dewan Masyarakat, Pakan, pagi semalam.
Jelasnya, melaksanakan pengukuran secara lot individu adalah berdasarkan permohonan yang diluluskan, kawasan tersebut telah pun disukat secara perimeter, diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan kesediaan penuntut tanah NCR terbabit.
“Untuk memastikan pengukuran secara lot individu dapat dilaksanakan dengan lancar, para penuntut tanah NCR hendaklah memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dengan mengenalpasti sempadan tanah dengan membuat rentisan yang jelas, bebas daripada sebarang pertikaian sempadan dan tuntutan serta hadir semasa pengukuran dilaksanakan.
“Dengan adanya dokumen pemilikan dan persempadanan yang jelas, tiada siapa boleh mempertikaikan pemilikan tuan atau puan ke atas tanah NCR tersebut,” ujarnya.
Sejumlah 150 surat hak milik tanah telah diserahkan oleh Awang Tengah kepada 128 orang penerima bagi kawasan Pakan-Sesco, pagi semalam.
Dalam pada itu, beliau juga berharap agar para penerima surat hak milik tanah tersebut dapat menjaga tanah masing-masing dan menggunakannya secara optimum untuk faedah diri sendiri dan keluarga serta mengekalkannya untuk generasi seterusnya.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka jika tuntutan tersebut adalah sahih mengikut perundangan.
“Terima kasih kepada semua pemilik tanah yang telah memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada pihak kerajaan semasa pengukuran tanah NCR dijalankan,” katanya lagi.
Sementara itu, ketika ditemubual para pemberita, beliau berkata, Kerajaan Sarawak telahpun berjaya membuat penyukatan secara primeter di kawasan Bahagian Sarikei ini, melibatkan kawasan 130,000 hektar.
“Ini adalah untuk peringkat pertama, dibuat secara primeter dan pada peringkat kedua, berdasarkan kepada pemohonan, mereka di mana tanah mereka sudah disukat secara primeter, warta telahpun dikeluarkan di bawah Seksyen 6, jika ada permintaan mereka yang terlibat, kita akan jalankan penyukatan secara individu dan dikeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dan hari ini, mereka di mana tanah mereka disukat tanah mereka secara primeter dikeluarkan warta di bawah Seksyen Kanun 6 Tanah Negeri atas permohonan mereka, tanah mereka disukat secara individu dan kita akan keluarkan surat hak milik yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
“Ini menunjukkan komitmen kita dan kita akan meneruskan program penyukatan tanah secara berperingkat. Peringkat pertama secara primeter sejak daripada 2010, kita telah berjaya menyukat lebih kurang 900,000 lebih hektar yang telah disukat secara primeter.
“Dan ada juga yang memohon untuk sukat secara individu dan kita telahpun menyukat secara individu di banyak kawasan.
“Tumpuan kita tahun ini, selain penyukatan primeter peringkat pertama, kita juga kalau ada persediaan dari kalangan mereka yang terlibat untuk menumpukan penyukatan dari segi individu,” ujarnya.
Ujarnya, Kerajaan Sarawak telahpun memberi peruntukan sebanyak RM40 juta dan kita juga menambah kekuatan anggota kita lebih-lebih lagi untuk pasukan-pasukan yang menjalankan kerja-kerja pengukuran melibatkan 400 lebih anggota baru.
“Ini melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak secara purata setiap tahun dalam RM30 juta.
“Sehingga hari ini nampaknya banyak permohonan-permohonan yang memohon tanah mereka disukat secara primeter dan ada juga yang memohon disukat secara individu. Kita juga akan meneruskan penyukatan dan ini adalah projek berterusan kerajaan,” ujarnya lagi.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Unus Tambi, Residen Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, Penguasa Tanah dan dan Survei Bahagian Sarikei, Thian Choon Kui dan Pegawai Daerah Pakan, Seroji Ludin.
Oleh Earl Anek