LAWAS: Masyarakat Iban di daerah Lawas akan terus diberi perhatian sama rata seperti kaum lain melalui pelaksanaan beberapa program pembangunan yang memberi kesejahteraan kepada mereka, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Sehubungan itu, sebuah jalan raya berturap dan tinggi daripada paras air banjir kilat akan dilaksana menghubungkan Rumah Ajan di Kampung Meragang ke jalan utama sejauh lebih 1 kilometer.
“Jalan raya bernilai RM3.5 juta ke Meragang akan memudahkan perhubungan lebih selamat khususnya kawasan yang mudah ditenggelami banjir kilat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Menteri Pembangunan Usahawan Sarawak menyatakan demikian sewaktu lawatan kerja ke rumah panjang berkenaan malam tadi.
Seterusnya beliau juga mahu agar syarikat pemilik ladang sawit untuk memberi kebenaran secara rasmi bagi pembinaan jalanraya ini yang akan melalui kawasan ladang berkenaan.
“Ini adalah untuk kegunaan bersama penduduk rumah panjang dan pemilik ladang sawit,”katanya.
Projek dibawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) itu, kini berada diperingkat akhir reka bentuk dan akan dipantau oleh agensi bertanggungjawab.
Selain itu, usaha akan terus dilakukan untuk menaik taraf kemudahan di rumah panjang Meragang yang juga memiliki potensi untuk maju dalam sektor pelancongan.
Beliau yang Juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut memberitahu akan melawat ke dua lagi penempatan masyarakat Iban di Lawas bagi melihat sendiri keperluan mereka.