
MARUDI: Pembinaan jalan baharu dari Miri ke Marudi sepanjang 42 kilometer dijangka memberi impak besar terhadap peningkatan sosioekonomi penduduk di kawasan Marudi dan Baram secara keseluruhan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, projek itu akan memendekkan masa perjalanan dari Miri ke Marudi kepada hanya 30 minit sebaik sahaja siap kelak.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Dialog bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Suarah Marudi hari ini.
Menurutnya, jalan tersebut akan dibina mengikut spesifikasi standard R5, iaitu dua lorong bagi setiap hala serta dilengkapi bahu jalan untuk parkir kecemasan.
“Jalan ini akan bermula dari simpang lampu isyarat berhampiran Eastwood Valley, Miri sebelum jambatan, dan kos pembinaan dianggarkan sebanyak RM800 juta. Namun, jumlah kos sebenar masih dalam perbincangan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan fasa pertama dari Miri ke Marudi dan dari Long Panai ke Long Lama sejauh 26 kilometer akan dilaksanakan oleh Kontraktor Pekerjaan Piasau Konkerit (PKK) Sdn. Bhd., milik syarikat Shin Yang, manakala laluan dari Marudi ke Kuala Melinau sejauh 72 kilometer akan dilaksanakan oleh Syarikat Samling.

Tambah beliau, upacara pecah tanah akan diadakan berhampiran jambatan Marudi dan dijangka disempurnakan selewat-lewatnya pada September atau Oktober tahun ini.
“Saya menggesa penduduk Marudi agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak kontraktor bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini tanpa gangguan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat Baram agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang hasutan pihak luar semasa pembinaan jalan sedang dijalankan, sebaliknya membawa sebarang isu untuk dibincangkan bersama.
Turut hadir, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) Juan Ubit, Ketua Seksyen Perancangan Strategik dan Pelaksanaan Projek Doris Urai Langat, Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang, Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda, Ketua-Ketua Jabatan dan agensi kerajaan, Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketuan Kaum serta pihak kontraktor dan konsultan.
Oleh Jiku Juguong