
SARATOK: Seramai 1,762 pekebun kecil di kawasan Krian mula menerima bantuan input pertanian dalam bentuk baja menerusi inisiatif Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang disalurkan di Pejabat Pertanian Daerah Saratok, hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik.
Menurut Friday, bantuan tersebut memberi manfaat kepada 1,325 pekebun kelapa sawit dan 437 pekebun lada yang permohonan mereka telah diluluskan. Agihan baja akan dijalankan secara berperingkat bermula hari ini.
Katanya, bantuan berkenaan adalah sebahagian daripada strategi kerajaan negeri melalui pelaksanaan projek ekonomi di bawah BDDA untuk meningkatkan keupayaan dan pendapatan pekebun kecil di luar bandar, khususnya dalam sektor komoditi utama seperti kelapa sawit dan lada.
Beliau berkata peningkatan harga baja memberi kesan besar terhadap kos operasi pekebun kecil dan inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan negeri serta BDDA dalam memastikan kebajikan golongan tersebut terus terbela.
Jumlah peruntukan keseluruhan bagi bantuan ini adalah sebanyak RM3.47 juta. Daripada jumlah itu, RM2.61 juta diperuntukkan bagi pembelian baja kelapa sawit manakala RM866,571 diperuntukkan untuk baja tanaman lada.
Beliau turut mengingatkan para penerima agar menggunakan bantuan tersebut dengan sebaiknya dan tidak menyalahgunakannya, bagi memastikan objektif program ini dapat dicapai sepenuhnya.
Tambah beliau, bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kos operasi, malah mampu meningkatkan hasil pengeluaran serta pendapatan pekebun kecil jika digunakan secara optimum dan berhemah.
Turut hadir, Pegawai Pertanian Daerah Saratok, Duat Gayok, bersama kakitangan Pejabat Pertanian Daerah Saratok yang terlibat dalam penyelarasan bantuan berkenaan.
Oleh Adi Safarman