
KUCHING: Pertandingan K-Stage 2025 – K-Pop Dance Cover Festival Kuching yang diadakan buat julung kalinya merupakan sebahagian daripada usaha Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memupuk semangat inklusiviti serta memperkasa golongan belia melalui platform seni dan budaya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata MBKS komited memastikan setiap program yang dianjurkan dapat melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk golongan muda, peminat seni serta pencinta budaya moden seperti K-Pop.
“Fenomena K-Pop bukan sekadar hiburan. Ia merupakan satu bentuk ekspresi generasi muda, budaya global dan pemacu kreativiti,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian pertandingan tersebut, malam tadi.
Beliau berkata penganjuran pertandingan itu memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan menonjolkan potensi mereka selain membina keyakinan diri dalam suasana persaingan yang sihat.
Katanya, kejayaan rakyat Malaysia seperti Ling Ling yang baru-baru ini debut sebagai ahli kumpulan K-Pop antarabangsa Kiiras membuktikan bahawa anak tempatan juga berupaya mencipta nama di peringkat global.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.