LIMBANG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Kota terus berada pada tahap tertinggi dalam mendepani sebarang cabaran menghadapi Pilihan Raya Negeri mahupun Pilihan Raya Umum.
Sehubungan itu, momentum perjuangan jentera parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Bukit Kota perlu sentiasa segar dan bersedia.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yakin dengan semangat juang dan kesetiaan ahli parti PBB mahupun GPS mampu memastikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota terus kekal sebagai kubu kuat parti pemerintah di Sarawak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota yakin segala usaha untuk mengerakkan pembangunan Sarawak melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus mendapat sokongan padu rakyat luar bandar khususnya di Limbang.
Beliau menyatakan demikian pada Program Jelajah GPS – PBB DUN Bukit Kota Ke-16 di Kampung Tegarai.
Seterusnya beliau juga sempat meluangkan masa bertemu muka dengan ahli parti PBB mahupun GPS di Kampung Tegarai untuk mendapat input terkini permasalahan di kampung berkenaan.
Sementara itu, penduduk di Kampung Tegarai Limbang amat bersyukur atas kepimpinan Dr Abdul Rahman yang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat di Limbang.
Malahan, pelbagai isu yang diangkat kepada beliau akan diteliti dan diatasi secara mengutamakan perkara yang membabitkan rakyat majoriti yang memberi impak besar.
Keseluruhannya perubahan yang dibawa telah mampu menjulang sektor ekonomi rakyat, perhubungan sosial dan kestabilan yang membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih baik daripada sebelumnya.
Oleh Adeng Edrus