
SELANGAU: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senjata api buatan sendiri di kawasan kebun di Nanga Pelugau, Ulu Balingian di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan pada 9.55 pagi daripada seorang lelaki berusia 36 tahun yang memaklumkan bahawa saudara lelakinya telah melepaskan tembakan di kawasan tersebut.
“Siasatan awal mendapati motif tembakan adalah sebagai peringatan berikutan salah faham berkaitan kehilangan alat mengepam air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah telah menahan seorang lelaki berusia 48 tahun di sebuah rumah kebun di kawasan terbabit sekitar 10.30 malam, hari yang sama.
Menurutnya, polis turut merampas selaras senapang patah buatan sendiri (bakakuk) yang disembunyikan di kawasan kebun kelapa sawit berdekatan.
“Suspek yang bekerja sebagai petani telah dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39 akta yang sama,” katanya.
Tambah beliau, suspek kini direman selama dua hari sehingga 29 Julai ini bagi melengkapkan siasatan.
Oleh Tarani Lanting