
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan reputasinya di pentas antarabangsa apabila kumpulan legenda muzik dunia, Air Supply, memilih Kuching sebagai lokasi Konsert Ulang Tahun ke-50 mereka yang dijadual berlangsung pada 24 September ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran konsert Air Supply bukan sekadar persembahan muzik yang dinanti peminat, sebaliknya menjadi titik penting dalam memperkasakan sektor pelancongan dan industri kreatif Sarawak ke peringkat lebih tinggi.
“Konsert ini membawa mesej yang jelas bahawa Sarawak sudah bersedia menganjurkan persembahan bertaraf dunia bersedia menyambut kehadiran penonton antarabangsa dan bersedia untuk meletakkan nama kita di peta hiburan global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Konsert Ulang Tahun ke-50 Air Supply di pusat beli-belah The Spring, hari ini.

Menurut beliau, peminat dari seluruh rantau termasuk Singapura, Indonesia, Brunei dan Semenanjung Malaysia sudah mula membuat perancangan untuk hadir ke Kuching September ini.
“Kehadiran para peminat bukan sahaja menyemarakkan suasana dan keterujaan malah turut membawa limpahan ekonomi yang signifikan kepada perniagaan tempatan merangkumi sektor perhotelan, penerbangan, restoran, peruncitan dan perkhidmatan pengangkutan,” jelasnya.
Setakat ini, tiket bagi Kategori J, RM388 dan Kategori K, RM358 telah habis terjual, sekali gus menunjukkan sambutan amat menggalakkan daripada para peminat.
Oleh Amanda L