SIMANGGANG: Risiko kes pecah rumah dan kecurian harta benda di dalam sesebuah penempatan penduduk akan menjadi lebih selamat dengan adanya kewujudan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di situ.
Bagaimanapun SRS yang ditubuhkan di sesebuah penempatan berkenaan perlulah aktif demi mengingatkan penjenayah agar tidak sesekali melakukan aktiviti berkenaan di situ dari masa ke semasa.
Justeru, tindakan mencontohi SRS Zon 1 Kampung Muhibbah berhubung perkara ini adalah wajar memandangkan organisasi berkenaan kerap mengadakan rondaan bagi membenteras aktiviti jenayah di dalam penempatan mereka dari masa ke semasa.
“SRS tidak harus menjadi organisasi tidur. Lagi pun tindakan menubuhkan SRS di bawah bidang kuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bukanlah satu perkara ‘main-main’ kerana ia melibatkan keselamatan harta benda penduduk di penempatan mereka.
“Mohon bersikap serius jika mahu menubuhkan SRS. Jika organisasi kita dilihat ‘tidur’ maka penjenayah akan mengambil kesempatan itu untuk melakukan aktiviti masing-masing ketika mempunyai peluang,” kata ketua perondanya, Ramli Abu Sera.
Selain itu, beliau ketika ditemui pada Program Jom Meronda di Kampung Muhibbah di sini malam kelmarin juga menasihat golongan remaja untuk menyertai organisasi SRS yang diwujudkan dalam penempatan masing-masing.
Katanya kehadiran mereka adalah amat penting demi memperkuatkan jentera SRS yang selama ini disertai oleh golongan pesara kerajaan atau individu pertengahan umur di penempatan mereka.
“Orang muda lebih bertenaga dan lasak ketika bekerja. Kehadiran mereka dalam SRS akan menjadikan organisasi itu lebih bertenaga dan berkemampuan untuk membenteras aktiviti jenayah di sesebuah penempatan itu ketika berlangsung rondaan.
“SRS Zon 1 Kampung Muhibbah juga sedang bertindak mengumpul ahli baharu yang terdiri daripada anak-anak muda di sini agar demi menggantikan ahli-ahli lama pada masa akan datang,” kata Ramli.
Terdahulu SRS Zon 1 Kampung Muhibbah yang terdiri daripada 13 orang ahli telah membahagikan operasi rondaan kepada dua kumpulan ketika berlangsungnya Program Jom Meronda di penempatan mereka malam kelmarin.
Kumpulan pertama telah diketuai oleh Ramli sendiri dengan aktiviti rondaan dilakukan ke kawasan zon tengah dengan kumpulan rondaan kedua di kawasan zon tengah pula diketuai oleh Pengerusi KRT Zon 1 Kampung Muhibbah iaitu Latipah Mantali.
Turut menyertai Program Jom Ronda berkenaan adalah Pegawai Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Ahmad Noorkamal Abdul Malek dan Penolong Pegawainya, Suzie Masin.
Oleh Valentine Ngumbang