SKUAD Kuching FA kini menunggu keputusan hasil ujian swab dilakukan keatas pemain yang diketahui pada 10 Ogos (Isnin).
Ia merupakan detik penentu status mereka sama ada akan turut serta mengharungi baki perlawanan dalam kempen Liga Premier 2020 bermula 26 Ogos ini.
Atau terpaksa melupakan keinginan tersebut jika timbul keputusan sebaliknya berlaku kelak.
Itu kata penolong pengurus, Iswandy Ali Hassan ketika diminta mengulas mengenai perkara itu semalam.
“Pemain serta pegawai baharu sahaja melakukan ujian swab susulan baru-baru ini, dan keputusan akan diketahui Isnin depan (10 Ogos).
“Pihak kita berharap semuanya negatif agar membolehkan kami merancang persiapan untuk menghadapi baki perlawanan yang ada,” tambah Iswandy.
Sambil mengakui pihaknya agak tertekan kerana persiapan dilakukan pihaknya sebelum ini terjejas ekoran beberapa pemain dalam skuad terbabit yang disahkan positif dijangkiti virus Covid-19.
Dalam pada itu, Iswandy turut menegaskan, hasil maklum balas diterima pihaknya rata-rata pemain dibelenggu rasa fobia untuk kembali menyambung latihan seperti biasa.
“Pemain fobia untuk kembali ke padang menyambung semula sesi latihan selepas apa yang berlaku sebelum ini,” jelas Iswandy lagi.
Oleh Faizal Bujang